fbpx
Tangkap layar beberapa status WhatsApp Allahyarham pada hari kejadian serta gambar isteri dan dua orang anaknya di pusara.

Pegawai JIM Papar ulang-alik lebih 700km demi keluarga berakhir tragedi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kisah pengorbanan seorang pegawai imigresen Sabah sanggup menempuh perjalanan lebih 700 kilometer (km) hampir setiap minggu untuk bertemu keluarga meruntun hati ramai selepas dia maut dalam kemalangan pada Sabtu lalu.

Perkongsian menyayat hati itu dimuat naik rakannya, S Faizzul Syar di laman Facebook yang memaklumkan menerima berita nahas tersebut pada pukul 9.45 malam hari sama.

Faizzul berkata, Allahyarham Azman Mazni yang bertugas di Depot Imigresen Papar baru sahaja menghantar mesej dalam kumpulan WhatsApp pada pukul 8 malam.

Katanya, Allahyarham merupakan suami, bapa dan anak yang sangat bertanggungjawab terhadap keluarga walaupun terpaksa berulang-alik sejauh 700km dari Sabah ke Sarawak.

Allahyarham berulang-alik dengan menunggang motosikal dari pejabatnya di Papar ke Miri atau Sibu, Sarawak untuk bertemu ibu, isteri dan anak-anak.

“Pengorbanan seorang suami, ayah dan anak, hampir setiap minggu bawa motosikal dari Depot Imigresen Papar ke rumah di Miri atau Sibu.

“Di Miri, ada ibu yang perlu dijaga, (manakaka) di Sibu ada isteri dan anak. Perjalanan melebihi 700km merentasi Brunei,” katanya.

Menurut Faizzul, setiap kali berhubung, lelaki tersebut sering meluahkan hasrat untuk berpindah ke Sarawak supaya berada lebih dekat dengan keluarga.

“Bukan tiada usaha. Sokongan dari (imigresen) negeri sudah ada, cuma kelulusan ibu pejabat masih belum diperoleh. Kadang-kadang seseorang (pegawai) memohon pertukaran bukan saja-saja (suka-suka), tetapi kerana ada insan tersayang yang menunggu,” katanya.

Tambahnya, Allahyarham Azman bukan sekadar sahabat baik, malah mereka membesar bersama sejak zaman persekolahan sebelum menyambung pengajian dan berkhidmat dalam jabatan sama.

Faizzul turut menghargai jasa arwah yang banyak membantu termasuk ketika isterinya bersalin.

“Banyak kebaikan yang dia buat. Kalau mahu diungkap memang terlalu banyak. Sikit lagi mahu sampai rumah…dekat dah. Ini perjalanan terakhir kau sahabat,” katanya penuh emosi.

Difahamkan, ketika kejadian, Allahyarham Azman hanya berbaki kurang sejam lagi untuk sampai di rumahnya di Sibu selepas menempuh perjalanan panjang hampir 11 jam.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN