KESELAMATAN di lapangan terbang merupakan aspek yang tidak boleh dikompromi terutama dalam era perjalanan udara moden yang melibatkan jutaan penumpang setiap hari.
Salah satu komponen penting dalam sistem keselamatan ini ialah penggunaan pengimbas beg berteknologi tinggi yang membantu pihak penguatkuasa mengesan sebarang ancaman sebelum ia dibawa masuk ke dalam pesawat.
Insiden seperti nahas pesawat Rusia di Sinai 2015 menjadi peringatan global tentang betapa pentingnya langkah pencegahan yang ketat termasuk pemeriksaan bagasi secara menyeluruh.
Menurut penyelidik dari Universiti Metropolitan Manchester, Britain, Profesor Nick Bowring, pengimbas beg di lapangan terbang hari ini tidak lagi sekadar mesin sinar-X biasa.
Ia menggunakan teknologi analisis automatik yang canggih untuk menghasilkan imej tiga dimensi kandungan beg.
“Mesin ini memancarkan sinar-X dari pelbagai sudut dan menggunakan tahap tenaga yang berbeza untuk mengenal pasti jenis bahan di dalam bagasi.
“Hasilnya, setiap objek dipaparkan dalam warna tertentu yang dikenali sebagai ‘pseudo colours’, memudahkan operator mengenal pasti bahan berbahaya,” katanya dalam satu temu bual bersama portal BBC News.
Tambahnya, sebagai contoh, logam biasanya dipaparkan dalam warna biru, bahan organik seperti makanan atau bahan letupan dalam warna oren, manakala logam ringan pula berwarna hijau.
Melalui sistem ini, penguatkuasa dapat mengenal pasti dengan cepat kandungan yang mencurigakan.
Perisian pintar dalam mesin pengimbas turut berfungsi secara automatik untuk mengesan jumlah bahan tertentu yang luar biasa.
Jelasnya lagi, jika sesuatu beg mengandungi terlalu banyak bahan organik atau logam, sistem akan memberi isyarat kepada operator untuk melakukan pemeriksaan lanjut.
Ini membantu mengurangkan risiko kesilapan manusia dan meningkatkan kecekapan pemeriksaan keselamatan.
“Selain warna, operator juga dilatih untuk mengenal pasti bentuk yang luar biasa dalam imbasan imej.

“Dalam kebanyakan kes, bagasi penumpang hanya mengandungi pakaian, peralatan elektronik seperti komputer riba serta barangan peribadi lain, namun kehadiran objek seperti wayar yang berselirat atau bentuk ketulan yang mencurigakan boleh menjadi petunjuk kepada ancaman seperti bahan letupan,” ujarnya.
Jelasnya lagi, bahan letupan berkuasa tinggi biasanya muncul sebagai ketulan berwarna oren dalam imbasan tetapi bentuknya yang tidak biasa membezakannya daripada objek harian seperti botol air.
Di beberapa lapangan terbang, teknologi yang lebih maju seperti pengimbas CT (computed tomography) turut digunakan.
Teknologi ini berfungsi hampir sama seperti imbasan dalam bidang perubatan di radiologi, ia ‘menghiris’ imej bagasi kepada lapisan-lapisan nipis.
Ini membolehkan operator melihat kandungan beg secara lebih terperinci dari pelbagai sudut.
Jika terdapat sebarang keraguan, mereka boleh meneliti setiap lapisan dengan lebih dekat untuk memastikan tiada ancaman tersembunyi.
Selain kecanggihan teknologi, faktor manusia juga memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan sistem ini.
Bowring berkongsi, operator pengimbas sentiasa diuji melalui kaedah yang dikenali sebagai ‘threat image projection’.
“Dalam proses ini, imej objek berbahaya seperti senjata api akan dimasukkan secara digital ke dalam paparan imbasan tanpa pengetahuan operator.
“Tujuannya adalah untuk menguji tahap kepekaan dan kecekapan mereka dalam mengesan ancaman,” katanya.
Tambahnya, latihan ini dilakukan secara berkala bagi memastikan operator sentiasa bersedia dan peka terhadap sebarang kemungkinan risiko.
Dalam dunia yang sentiasa berdepan ancaman keselamatan, peranan pengimbas beg bukan sahaja membantu penguatkuasa menjalankan tugas dengan lebih efisien, malah memberi keyakinan kepada penumpang bahawa perjalanan mereka adalah selamat.
Pengimbas beg di lapangan terbang merupakan gabungan teknologi canggih dan kepakaran manusia yang saling melengkapi.
Dengan keupayaan untuk mengenal pasti bahan melalui warna, bentuk dan struktur dalaman, sistem ini menjadi barisan pertahanan pertama dalam memastikan keselamatan penerbangan.














