KOTA TINGGI – Gara-gara tawaran pulangan sebanyak RM10 juta, seorang lelaki kerugian sebanyak RM738,950 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan tidak wujud sejak Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu semalam melibatkan pelaburan tidak wujud dikenali pelaburan AI di applikasi WhatsApp.
Katanya, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun telah mengalami kerugian selepas melakukan lima transaksi pemindahan wang ke dalam empat akaun penerima.
“Kes bermula pada Februari 2026, di mana mangsa telah diperkenalkan oleh seorang perempuan yang tidak dikenali di applikasi WhatsApp. Modus operandi sindiket skim pelaburan ini mangsa ditawarkan akan menerima keuntungan sehingga berjumlah jutaan ringgit.
“Mangsa telah membuat penambahan pembayaran secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan transaksi mencecah RM738,950 bagi mendapatkan keuntungan yang disekat di applikasi pelaburan berkenaan berjumlah RM10,000,000.
“Mangsa menyedari dirinya telah ditipu apabila mangsa tidak menerima dan tidak dapat mengeluarkan wang pulangan hasil pelaburan yang dilaburkan,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, susulan itu polis telah menyiasat kes itu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE














