fbpx
PENYANYI Amir Masdi menyifatkan pujian Anwar Ibrahim bukan untuk dirinya seorang tetapi kepada seluruh pasukan, terutama SPWinds yang mengiringi konsertnya, malam Sabtu lalu.

‘Bulu roma saya meremang’ – Amir Masdi besar hati dipuji PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Momen berharga, penyanyi Amir Masdi terharu apabila kualiti vokalnya mendapat pujian daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim impak persembahan semasa menjayakan Winds of Glory: AM: PM dan SPWinds In Concert.

Amir atau nama lengkapnya Amir Syazwan Masdi, 30, menyifatkan pujian tersebut bukan sekadar untuk dirinya, malah merupakan satu kejayaan buat pasukan orkestra Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) yang mengiringi persembahannya pada malam itu.

“Nampak tak bulu roma saya meremang? Apabila beliau memberikan pujian, saya berbesar hati menerimanya bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga buat SPWinds.

“Tanpa SPWinds, suara saya tidak akan kedengaran seindah itu, selain sokongan pasukan produksi dan semua yang terlibat.

“Secara peribadi, saya bersama SPWinds ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri atas sokongan dan kata-kata positif,” katanya ketika ditemui di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, kelmarin.

Pujian tersebut disampaikan Pengetua Sekolah Seri Putri (SSP), Julaila Yahya, yang memaklumkan bahawa Perdana Menteri amat kagum dengan persembahan bertenaga Amir sepanjang konsert yang berlangsung selama dua jam.

Mengulas mengenai persediaan konsert, pelantun lagu Nurcinta itu mengakui menggalas tugasan mencabar memandangkan dia hanya menjalani latihan dalam tempoh yang singkat bersama SPWinds.

“Memang mencabar untuk menjayakan konsert dengan lebih 28 lagu hanya melalui empat sesi latihan.

“Namun, saya meletakkan kepercayaan penuh kepada para puteri SPWinds.

“Walaupun berdepan peperiksaan, mereka tetap berlatih secara berdikari. Disiplin mereka sangat tinggi dan gabungan tenaga kami menghasilkan persembahan yang cukup mantap,” ujarnya.

Menariknya, Amir turut melakukan kejutan dengan menyaksikan seleksi lagu kegemaran Perdana Menteri termasuk karya klasik, Azizah yang belum pernah dibawakan sebelum ini.

“Saya hanya menurut cadangan pihak sekolah. Mereka memaklumkan Datuk Seri menggemari lagu M. Nasir serta Azizah.

“Pada awalnya saya agak terkejut kerana belum pernah menyanyikannya.

“Saya kemudian mempelajari lagu itu, manakala pihak orkestra menyediakan susunan muzik baharu yang lebih segar dan sesuai dengan vokal saya. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya lagi.

Konsert tersebut dianjurkan sebagai usaha mengumpul dana bagi membolehkan SPWinds menyertai pertandingan orkestra antarabangsa, World Music Contest (WMC) 2026 yang dijadual berlangsung pada Julai depan di Kerkrade, Belanda.

Pada tahun lalu, SPWinds pernah melakar nama di peringkat antarabangsa apabila meraih Anugerah Emas pada World Orchestra Festival ke-11 di Vienna, Austria. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN