DUNGUN – Kira-kira 73 peratus daripada 34 hektar kawasan hutan paya gambut berhampiran Kampung Baru Kuala Abang di sini yang terbakar sejak Khamis lalu berjaya dipadamkan, setakat ini.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Kasyfi Syahmi Ghazali berkata, baki sembilan hektar kawasan hutan itu yang masih terbakar dijangka dapat dipadamkan sepenuhnya menjelang Rabu minggu depan.
“Setakat ini, sebanyak 25 hektar kawasan hutan paya gambut yang terbakar berjaya dipadamkan. Kekuatan anggota ditambah kepada 90 orang bagi operasi pemadaman tersebut,” katanya ketika memantau operasi di Kampung Baru Kuala Abang, di sini hari ini.
Beliau berkata, tumpuan kini akan diberikan untuk memadam kebakaran hutan berdekatan Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Kuala Abang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Abang.
Kosmo! dalam laporan muka depan hari ini melaporkan lebih 1,000 penduduk Kampung Baru Kuala Abang terpaksa berpindah kerana tidak tahan asap tebal disebabkan kebakaran lebih 32 hektar hutan paya gambut sejak Khamis lalu. – KOSMO! ONLINE














