Wan Othman berhenti sekolah ketika berusia 15 tahun untuk bekerja sebagai pengutip sampah bagi membantu keluarganya.

Pungut sampah demi keluarga, sekolah adik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang pemuda sanggup berhenti sekolah seawal usia 15 tahun untuk be­kerja sebagai pengutip sampah demi menjadi tulang belakang keluarga dan memastikan adik-adiknya dapat meneruskan persekolahan.

Wan Othman Wan Mohd Nor Hassyim, 23, berkata, dia nekad berhenti sekolah dan mengetepikan impian dan masa depannya selepas melihat kesusahan ibu bapa mencari rezeki membesarkan mereka.

Kata anak kedua daripada lima beradik itu, dia berpegang kepada prinsip kemuliaan seseorang bukan terletak pada jenis pekerjaan, sebaliknya pada keikhlasan mencari rezeki yang diberkati.

“Dulu saya dan keluarga berdepan masalah kewangan dan perkara itu membuatkan saya tak berminat nak sambung belajar untuk membantu keluarga dan meringankan beban. Saya tak pernah menyesal dengan keputusan yang saya buat ini.

“Saya cuma inginkan adik-adik saya habiskan pelajaran sahaja bukan seperti saya yang separuh jalan dan saya harap mereka dapat membanggakan ibu dan ayah,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Menurut Wan Othman, dia memulakan tugas pada waktu malam iaitu bermula 9 malam dan hanya berakhir pada pukul 6 pagi keesokan harinya.

Tambahnya, tugas mengutip sisa kotoran selama sembilan jam setiap malam itu dilakukan dengan penuh dedikasi tanpa mengira penat lelah demi sesuap nasi.

“Meskipun berdepan dengan persepsi negatif masyarakat yang memandang rendah terhadap pekerjaannya, saya cuba cekal demi kelangsungan hidup keluarga di Kuantan,” katanya.

Ujar Wan Othman, apa yang penting dalam hidupnya ialah rezeki yang halal dan dia langsung tidak mempedulikan bau busuk kerana sudah terbiasa dengan kerja itu.

“Selama itu, walaupun ada juga segelintir yang memandang hina, saya tetap seronok dengan masyarakat yang turut sama memahami kami bekerja dan memudahkan kerja kutipan kami,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, dia menyimpan hasrat untuk menjadi seorang anggota polis akan tetapi hasrat itu terpaksa dipendam kerana tiada Sijil Pelajaran Malaysia.

Namun, dia tetap berazam untuk menduduki peperiksaan itu jika diberikan peluang kepadanya sekali lagi.

Kisah inspirasi Othman yang tular di media sosial itu meruntun hati orang ramai sekali gus dapat memberikan contoh yang hebat kepada anak-anak muda yang lain tentang erti sebenar maruah dalam mencari rezeki yang halal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN