PUNCAK bukit dengan pemandangan Kuala Lumpur menjadi antara tarikan ikonik yang menawarkan panorama memukau dari sudut berbeza. Ia juga pada masa sama menjadi tarikan bagi pelancong dan jurufoto yang mencari pengalaman visual menenangkan.
Antara lokasi yang menawarkan pemandangan indah kota raya Kuala Lumpur adalah Puncak Ampang Look Out Point atau Puncak ALOP.
Baru-baru ini Puncak ALOP dibuka semula kepada pengunjung sebagai satu lagi langkah penting dalam memperkukuh sektor pelancongan di Selangor.
Terletak di kawasan hijau yang nyaman di Hulu Langat, Puncak Ampang Look Out Point atau Puncak ALOP kini muncul sebagai antara destinasi cuti santai yang semakin mendapat perhatian ramai.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, pembukaan semula ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa industri pelancongan secara inklusif dan mampan.
“Kawasan Hulu Langat yang sebelum ini terkenal sebagai lokasi rekreasi kini diberi nafas baharu dengan penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan. Inisiatif ini dijangka memberi impak positif kepada ekonomi setempat, khususnya melalui peluang perniagaan kepada peniaga kecil dan penjaja tempatan yang kini menikmati premis jualan yang lebih teratur dan sistematik.
“Lebih menarik, Puncak ALOP kini berfungsi sebagai sebuah ‘stop centre’ strategik yang menawarkan pemandangan panorama memukau, terutama pada waktu senja dan malam,” katanya semasa perasmian Puncak ALOP di Bukit Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Tambahnya, keindahan landskap semula jadi yang berpadu dengan suasana bandar dari kejauhan menjadikan lokasi ini sangat popular dalam kalangan pengunjung, khususnya golongan belia. Selepas melalui proses naik taraf dan pembangunan semula, lokasi ini bukan sahaja menawarkan pemandangan alam semula jadi yang memukau, malah dilengkapi dengan kemudahan yang lebih moden, selamat dan mesra pengunjung.
Keindahan panorama dari puncak bukit ini menjadikannya lokasi ideal untuk mereka yang ingin melarikan diri seketika daripada kesibukan kota tanpa perlu pergi jauh.
Sementara itu Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, apa yang menjadikan Puncak ALOP begitu istimewa adalah kedudukannya yang strategik berhampiran bandar, namun masih mengekalkan suasana alam semula jadi yang segar dan mendamaikan.
“Dari sini, pengunjung dapat menikmati pemandangan luas yang merangkumi kehijauan hutan, jalan berliku serta latar belakang bandar yang berkelipan pada waktu malam.
“Momen matahari terbenam di puncak ini sering menjadi tarikan utama, menjadikannya lokasi popular untuk aktiviti fotografi dan bersantai bersama keluarga atau rakan-rakan,” ujarnya.
Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai pilihan makanan ringan sambil menghirup udara segar di kawasan tanah tinggi. Bagi penggemar aktiviti luar, Puncak ALOP turut menjadi destinasi kegemaran komuniti berbasikal.
Laluan mendaki yang mencabar menuju ke puncak memberikan kepuasan tersendiri kepada mereka. Selain itu, kawasan ini juga sesuai untuk aktiviti santai seperti berkelah, berjalan kaki dan menikmati alam sekitar secara dekat.
Keselamatan dan keselesaan turut menjadi keutamaan di Puncak ALOP. Dengan pengurusan yang lebih sistematik serta pematuhan kepada piawaian operasi, pengunjung kini boleh menikmati percutian mereka dengan lebih yakin.
Suee Lim juga memberitahu, pembangunan Puncak ALOP masih diteruskan secara berperingkat bagi menambah daya tarikannya sebagai destinasi ekopelancongan.
“Antara perancangan masa depan termasuk penyediaan tapak perkhemahan dan kawasan karavan, yang pastinya akan menarik lebih ramai pencinta alam dan pengembara.
“Cadangan pembinaan menara tinjau ikonik juga dijangka menjadi tarikan baharu yang mampu memberikan pengalaman lebih unik kepada pengunjung,” kongsinya.
















