KUALA LUMPUR – Institusi zakat di negara ini masih diyakini mempunyai sistem tadbir urus yang telus dan profesional walaupun berdepan pelbagai persepsi di media sosial.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hassan, berkata keyakinan itu berasaskan pengiktirafan serta pencapaian institusi zakat Malaysia di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai contoh telah menerima pelbagai anugerah selain dipuji dari segi audit dan pengurusan.
“Daripada segi agihan, ia dilaksanakan dengan tertib dan tata kelola yang baik. Malah orang ramai boleh membuat semakan terhadap penggunaan dana yang disalurkan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Pemandu E-Hailing dan P-Hailing Barakah Pit Stop di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak yang mempersoalkan status dana zakat di negara ini.
Menurutnya, pihak kerajaan memberi ruang kepada siasatan sekiranya terdapat isu berbangkit, namun secara keseluruhan sistem zakat negara masih berada pada tahap yang baik.
“Institusi zakat kita menjadi rujukan luar negara dan telah mencapai satu penanda aras tinggi dalam pengurusan,” ujarnya.
Tambah beliau, segala proses kutipan dan agihan dilaksanakan mengikut prinsip profesionalisme serta tadbir urus yang ditetapkan.
“Ini bukan sekadar dakwaan, tetapi telah dibuktikan melalui penilaian pihak audit,” katanya.- KOSMO! ONLINE






