SEBERANG PERAI – Kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan sedang berusaha mencari mekanisme untuk menurunkan cukai jalan bagi kenderaan diesel dalam tempoh terdekat, susulan krisis kenaikan harga bahan api itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak 1.8 juta kenderaan diesel direkodkan di negara ini dan jumlah tersebut masih dianggap kecil berbanding kenderaan yang menggunakan RON95.
Menurut beliau, pihaknya sudahpun mengadakan perbincangan bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berhubung pelaksanaan itu bagi meringankan bebanan pengguna diesel.
“Saya minta Menteri Pengangkutan, Ketua Setiausaha (KSU) untuk mencari jalan sekarang supaya dalam tempoh terdekat turunkan cukai jalan bagi kenderaan diesel.
“Untuk turunkan harga minyak sekarang ini kita tak mampu. Tapi cukai jalan itu boleh. Kalau nak turun banyak, tolong lobi dengan Menteri Pengangkutan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Ulang Tahun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Ke-80 & Karnival Mega JPJ Madani 2026 di Batu Kawan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turun mengulangi kebimbangan terhadap isu pembekalan minyak mentah susulan krisis Asia Barat.
“Kebimbangan kita terbesar ialah supply (bekalan). Ada tidak larangan itu? Itu paling besar. Keduanya, baru harga. Sebab kalau kita bicara harga, ada negara dalam tempoh awal bulan lalu, awal bulan Mei ini, 400 stesen minyak ditutup.
“Oleh itu bayangkan, saudara di kota kecil, stesen minyak ditutup. Bagaimana hidup? Ada negara, pegawai-pegawai kerajaan hanya diminta ketua-ketua negara bekerja dari rumah. Ada negara, mereka berjalan kaki ke pejabat.
“Saudara… Alhamdulillah kita belum sampai ke arah itu dan saya tidak fikir kita akan bergerak ke arah itu.
“Tapi janganlah kita takbur, anggap kita boleh selesaikan semua masalah yang dihadapi oleh dunia sekarang,” jelasnya.
Justeru, beliau turut menyarankan agar rakyat di negara ini untuk bersatu hati sebagai sebuah pasukan sekali gus tidak menjadikan isu bekalan bahan api sebagai agenda politik.
“Jangan kita anggap ini tidak ada tempiasnya ke atas negara kita dan sebab itu kita waspada. Tak perlu politikkan (isu) ini.
“Ada masa kita politik, ada masa kita berbeza pendapat. Tetapi ada masa seluruh kekuatan negara, dari kerajaan, rakyat dan pekerja harus bangkit bersama sebagai satu pasukan mempertahankan ekonomi negara,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














