ALOR GAJAH – Pemandu bas ekspres yang tular memandu dalam keadaan khayal ketika membawa 15 penumpang dari Perak ke Johor Bahru, minggu lalu dipenjara tujuh bulan dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah, hari ini.
Majistret Dr. Teoh Shu Yee menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd. Tamrin Ibrahim, 53, yang membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah memandu bas secara berbahaya kepada orang awam pada pukul 3.50 pagi, 15 April lalu di Kilometer 196.1 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan) berhampiran persimpangan Ayer Keroh dan didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan dan denda RM8,000 atau tambahan penjara lima bulan jika gagal membayar denda. Lesen memandu tertuduh turut digantung selama lima tahun bermula dari tarikh tangkapan.
Difahamkan tertuduh juga bakal didakwa mengikut Seksyen Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Terdahulu, Kosmo! pada 20 April lalu melaporkan tertuduh telah ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah susulan diburu polis berhubung klip video dia memandu dalam keadaan berbahaya yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, hasil soal siasat awal, tertuduh mengaku mengambil dadah jenis syabu sebelum memulakan perjalanan dari Ipoh menuju ke Johor Bahru, pada hari kejadian. – KOSMO! ONLINE














