PETALING JAYA – Pasukan Melaka FC melakar kemenangan kedua berturut-turut dalam kempen Liga Super selepas menewaskan Sabah FC 1-0 dalam aksi di Stadium Hang Jebat, sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, skuad The Rhinos yang masih terbuai dengan kejayaan menjulang trofi Piala Cabaran memulakan saingan dengan melakukan beberapa siri percubaan ke gawang tuan rumah.
Namun, Melaka FC yang dikendalikan oleh E. Elavarasan turut mencipta peluang keemasan tetapi percubaan Ahmed Shamsaldin dan Dino Kalesic tidak menepati sasaran.
Bersambung pada babak kedua, tuan rumah terus ghairah untuk mencari gol dan kali ini tuah memihak kepada Kalesic apabila menyudahkan hantaran Umar Hakeem pada minit ke-69.
Sabah yang dikendalikan oleh Juan Torres Garrido cuba untuk bangkit tetapi keputusan 1-0 kekal hingga wisel penamat.
Kemenangan itu menyaksikan Melaka melonjak ke tangga ke-10 liga selepas mengutip 17 mata manakala Sabah di kedudukan ke-11 dengan 16 mata. – KOSMO! ONLINE














