SHAH ALAM – Hanya rasa syukur diluahkan seorang pegawai teknologi maklumat (IT) apabila dapat menemani ibunya menunaikan haji buat kali pertama tahun ini.
Lebih bermakna, Alya Sorfina Ahmad, 24, yang baru bekerja bulan ini menjadi ‘pengganti’ arwah bapanya untuk pergi ke Tanah Suci.
Menurut anak sulung daripada dua beradik itu, bapanya, Allahyarham Ahmad Jusoh, 49, meninggal dunia akibat masalah jantung sejak November 2019.
Kata Alya, ibunya, Nor Hazimah Yaacob, 57, mengemukakan proses rayuan untuk menunaikan haji hampir setiap tahun sejak 2018.
“Alhamdulilah, kami akhirnya dipilih bersama menjadi tetamu Allah dan dapat menemani ibu sebagai mahram di Mekah.
“Saya ibarat ‘pengganti’ kepada arwah bapa untuk melaksanakan rukun Islam kelima itu,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan Inisiatif Makmur Barakah Haji Pahang (Perantau) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi itu antara 144 jemaah menerima inisiatif berkenaan yang diserahkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Menurut Alya, dia baru mula bekerja di sebuah syarikat IT di Putrajaya awal bulan ini dan belum mendapat gaji pertamanya.-KOSMO! ONLINE.














