PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima sebanyak 463 permohonan untuk menurunkan kandungan berita palsu berkaitan krisis bekalan global setakat hari ini.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, semua permohonan diterima akan dipanjangkan kepada penyedia platform media sosial terlibat untuk tindakan susulan mengikut prosedur sedia ada.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, berdasarkan aduan yang diterima, Facebook mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 185 permohonan, diikuti TikTok (142 kandungan) dan Threads (131 kandungan).
“Daripada 463 permohonan, sebanyak 65 kertas siasatan dibuka dan satu kes diputuskan oleh Jabatan Peguam Negara untuk pendakwaan di mahkamah.
“Selain itu, lima kes menerima nasihat untuk dikenakan arahan kompaun, manakala selebihnya masih dalam siasatan,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.
Katanya, kandungan berita palsu yang paling banyak dilaporkan melibatkan isu harga bahan api dan tol berkaitan Selat Hormuz.
Fahmi mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi sebarang kandungan.
“Dalam situasi krisis ketika ini, ia (berita palsu) dilihat amat sensitif dan memberi kesan langsung kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” kata beliau. – KOSMO! ONLINE














