Tahun lepas saya sempat berkunjung ke tempat ini. Apa yang menarik perhatian, banyak ikan peacock bass (PB) dan haruan yang kelihatan begitu jinak berlegar-legar di tebing tasik.
Ketika itu, saya difahamkan aktiviti memancing masih tidak dibenarkan.
Dahulu, sebelum wujudnya SVO, tasik atau bekas lombong ini sudah pun ada dan menjadi antara lokasi pancingan PB yang popular bagi penduduk tempatan serta luar.
Sahabat saya, Nazreen mendapat maklumat daripada Facebook, Abdul Khafitd Hakim yang mengendalikan servis memancing di sana.
Pucuk dicita, ulam mendatang, saya juga kebetulan sudah bertahun tidak mengilat ikan PB.
Lebih menarik, ada bot fiber boleh disewa dari pukul 8.30 pagi hingga 7.30 petang, siap sekali enjin elektrik, pendayung dan sauh dengan harga RM145.
Hari trip
Kami sampai awal dan parkir kereta di West Village kerana di sana terletak jeti bot sewa. Kemudian, pendaftaran dilakukan di pejabat Real Caster untuk mengambil kelengkapan bot sebelum turun ke jeti yang terletak di belakang.
Bersebelahan dengan jeti ada surau dan tandas, terdapat juga satu restoran nasi kandar berhampiran.
Ini merupakan fasiliti yang amat memudahkan pemancing berkunjung.
Sebaik bot bergerak, tanpa berlengah kami terus menuju ke kawasan teratai berhadapan jeti kerana sejak dari awal kelihatan sekumpulan ikan naik ‘menangkap’ sesuatu di permukaan air.
Hairan, puas melempar pelbagai jenis gewang, ikan langsung tidak peduli. Setelah diamati dengan teliti baharulah kami dapati ia adalah sekumpulan ikan bandaraya.
Lantas kami meninggalkan lokasi tersebut dan menyusuri ke sebelah kanan tasik. Di sepanjang tebing tanah, tiada langsung sambaran, berkemungkinan dasarnya cetek.
Kami langsung tidak mencuba gewang topwater kerana pagi itu keadaan permukaan tasik beralun akibat angin. Gewang minnow saiz besar diturunkan mengharapkan PB saiz kasar tetapi ia tidak bersahut.
Gewang mikro
Merasakan PB di dalam tasik ini lebih gemar makanan bersaiz kecil, saya tukar kepada spoon mikro dan spinfly, manakala Nazreen mencuba gewang jenis tenggelam perlahan iaitu storm flutterstick tujuh sentimeter (sm) dan jighead fly.
Sambaran PB hanya diterima sebaik kami sampai ke kawasan yang tebingnya tambak berbatu.
Kebanyakan masa PB menerkam gewang semasa ia turun ke dasar sebelum sempat dikarau.
Ini menunjukkan populasi PB di Tasik Silverlakes masih tidak culas dan sangat agresif, mungkin PB saiz kecil terlalu banyak menyebabkan yang saiz kasar tidak sempat menyambar gewang.
Namun, saya masih tidak berpuas hati kerana sambaran ikan tidak bertalu-talu.
Saya merasakan mungkin disebabkan kami mengilat menghadap tebing, jadi kebanyakan masa gewang terlepas zon berpotensi, iaitu betul-betul di hujung batu tambak di dasar.
Kebetulan hari semakin panas terik, lantas saya mengalihkan bot terus parkir di bawah lindungan bayang pokok-pokok besar di tebing. Dengan ini kami boleh terus melemparkan gewang di sepanjang tebing.

Lontaran terlalu rapat ke tebing menyebabkan gewang mudah tersangkut batu.
Jadi, jarak gewang dimainkan di antara dua hingga empat kaki dari hujung batu dan air kerana didapati itulah jarak yang selamat.
Selepas dapat membuka ‘kunci’, barulah kena sambaran tidak henti-henti.
Rata-rata saiz PB kami dapat dalam lingkungan 25 hingga 40 sm panjang, tiada yang kasar, walaupun diberitakan saiz terbesar sepanjang servis memancing ini bermula adalah 48 sm.
Suasana tiba-tiba menjadi senyap, bot saya alih ke kawasan tebing yang lain dan sekali lagi PB akan menyerang.
Kadangkala, ada ikan cichlid belang yang turut menyelit meligan gewang mikro kami guna.
Kami juga dapati gewang warna terang terutamanya chartreuse lebih menjadi berbanding warna-warna lain untuk PB di sini.
Mungkin faktor air yang bersedimen pekat terampai membuatkan warna tersebut lebih menyerlah di dalamnya.
Kami hanya mengilat di Tasik A, ada satu lagi kawasan lebih besar iaitu Tasik B yang terletak di belakang butik Coach.
Caj tambahan sebanyak RM50 satu bot dikenakan jika mahu ke sana.
Kami mungkin akan mencuba ke sana di lain trip kerana untuk menjelajah setiap inci di Tasik A ini pun tidak cukup seharian.
Kami juga tidak dapat mengilat sampai ke lewat petang kerana dalam pukul 4 petang, ribut kuat melanda tasik, nasib baik kami sempat beredar sebelum ia sampai.
Akses mudah
Menarik tentang lokasi ini adalah Stesen Kereta Api Batu Gajah hanya terletak di belakang West Village ini.
Saya memikirkan, jika tidak mahu memandu ke sini, hanya perlu tempah hari memancing, kemudian beli tiket balik hari KTM Electric Train Service (ETS).
Sampai awal pagi, kemudian jalan kaki lebih kurang lima minit sahaja dari stesen ke jeti. Boleh sewa bot atau kayak dengan bayaran yang telah ditetapkan.
Pilihan lain adalah mengilat dari tebing (land based) yang dibuka hanya pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum dengan bayaran RM40 seorang untuk sesi dari pukul 8.30 pagi hingga ke 7.30 petang.
Tempat terhad untuk 12 orang sahaja di kawasan yang ditetapkan oleh pengurusan SVO.
Zaman sekarang, peralatan memancing banyak dibuat untuk mobiliti seperti joran pelbagai keratan (multi-pieces rod). Puas mengilat, petang naik ETS balik semula ke destinasi masing-masing, mudah.














