PETALING JAYA – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan semua projek pembangunan pertanian di bawah kementeriannya mesti dilaksanakan dengan lancar dan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Menurut beliau, perkara itu ditekankan ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian (MTPK) petang semalam.
Katanya, ketegasan tersebut penting kerana setiap peruntukan yang dibelanjakan merupakan wang rakyat yang perlu diurus dengan penuh amanah dan tanggungjawab.
“Setiap sen adalah amanah rakyat, jadi kita mesti pastikan ia benar-benar sampai kepada golongan sasaran,” katanya.
Tambah beliau, kementerian komited memastikan manfaat peruntukan itu dinikmati sepenuhnya oleh petani, penternak, pesawah dan nelayan yang menjadi tulang belakang keterjaminan makanan negara.
“Apabila golongan ini maju, kesannya akan dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan pemantauan rapi akan terus dilakukan terhadap semua pegawai dan pelaksanaan projek bagi mengelakkan sebarang kelewatan.
“Matlamat kita jelas, semua projek mesti siap seperti dirancang demi kesejahteraan rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














