PETALING JAYA – Inisiatif Lembu Korban Rahmah oleh RISDA Livestock dilihat mampu membuka peluang kepada lebih ramai umat Islam melaksanakan ibadah korban pada tahun ini dengan kos yang lebih mampu milik.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, program itu turut menawarkan kemudahan bayaran secara ansuran bagi memberi fleksibiliti kepada orang ramai.
Menurut beliau, langkah tersebut bukan sahaja memudahkan urusan ibadah, malah menyokong pembangunan ekonomi pekebun kecil serta usahawan desa di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
“Ini adalah sebahagian usaha kita untuk memperkukuh ekosistem pekebun kecil di samping memastikan lebih ramai berpeluang menunaikan ibadah korban,” katanya.
Beliau turut menggalakkan orang ramai yang telah merancang untuk melaksanakan ibadah korban agar membuat tempahan awal bersama RISDA Livestock.
“Stok adalah terhad, jadi saya sarankan agar tempahan dibuat segera,” ujarnya.
Inisiatif itu dijangka memberi manfaat bukan sahaja kepada peserta korban, malah membantu merancakkan ekonomi luar bandar melalui sokongan berterusan kepada industri ternakan tempatan. – KOSMO! ONLINE














