PETALING JAYA – Taktik licik seorang wanita yang menyamar sebagai petugas hospital untuk mengaut wang daripada waris pesakit terbongkar selepas satu kejadian dilaporkan berlaku di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru (HSAJB), semalam.
Dalam kejadian berlaku petang semalam, seorang wanita dipercayai duduk di meja nombor pendaftaran telah meminta bayaran sebanyak RM30 daripada waris pesakit kononnya sebagai caj kemasukan wad.
Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa telah membuat bayaran tersebut bagi urusan kemasukan ahli keluarga ke wad.
Bagaimanapun, pihak pengurusan HSAJB menegaskan bahawa individu terbabit bukan petugas hospital dan tindakan tersebut adalah satu penipuan.
Menurut kenyataan rasmi, kes berkenaan kini dalam siasatan pihak polis.
“Orang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan hanya membuat sebarang bayaran di kaunter hasil yang sah serta memastikan resit rasmi dikeluarkan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai diminta lebih berhati-hati agar tidak menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan terhadap situasi cemas melibatkan pesakit.- KOSMO! ONLINE.














