PETALING JAYA – Seorang lelaki menerima wang RM206 berserta nota ditinggalkan pada cermin hadapan selepas kereta Perodua Myvi miliknya, didakwa dilanggar sebuah kereta Perodua Kelisa sewaktu dia sedang membeli barang.
Nota itu dipercayai ditulis seorang remaja dikenali sebagai Adira dan ketika kejadian, gadis tersebut menaiki kereta Perodua Kelisa dipandu neneknya.
Menerusi hantaran dimuat naik oleh Muhammad Mubin pada Thread, surat ditinggalkan oleh Adira menceritakan kejadian yang berlaku, malah remaja tersebut turut meminta maaf kerana hanya mampu memberikan wang sebanyak itu.
“Maaf cik/encik, tadi nenek saya terlanggar bumper (bampar) belakang kereta cik/encik sebelah kanan. Saya tak sempat nak tunggu sebab ada hal. Ni saya ada tinggal duit ganti rugi, maaf tak banyak, ni je saya ada. Kalau tak cukup boleh WhatsApp nombor ni, saya usaha ganti,” kata Adira menerusi satu surat ditinggalkan.
Dalam pada itu, Muhammad Mubin berkata, kejadian itu berlaku pada Jumaat lalu dan menyedarinya selepas dia selesai membeli barangan di pasar.
“Balik tengok ada surat, saya tak perasan bumper tu terbuka, baca surat tu baru nampak. Bumper clip patah, ada calar sikit. Ada pak cik mari (datang) tegur kata ada mak cik dengan anak dia langgar naik kereta Kelisa.
“Dia pesan suruh WhatsApp nombor kat kertas tu. Dia tinggal duit RM206. Sebab sebut mak cik kan, jadi saya rasa kasihan sebab orang tua, abah saya pun orang tua, jadi saya rasa mesti dia tak perasan kan. Saya pun WhatsApp dia,” katanya pada hantaran Thread.
Muhammad Mubin berkata, atas dasar perikemanusiaan, dia mengembalikan wang RM206 itu kepada remaja tersebut dan neneknya.
“Nenek dia sebaya abah saya dalam 70 tahun lebih dan dia duduk berdua saja. Mak ayah dah lama meninggal dan dia tak ada orang lain selain nenek dia yang ni. Duduk pun rumah kampung, ada kereta tu ‘sebiji’ je, jadi saya kasihan.
“Saya bagi balik sekali bagi duit lebih sikit, sebab yang dia bagi tu, itu je duit yang dia ada. Dalam kita rasa diri kita ni susah, ada orang yang jauh lagi susah dari kita,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














