fbpx
Replika Su-57E yang dipamerkan di Pavilion Russia.

DSA 2026: Sukhoi ‘generasi ke-5’ aset tumpuan Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pesawat Sukhoi Su-57E antara aset yang menjadi tumpuan utama di Pavilion Russia sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026, di sini hari ini.

Pesawat buatan syarikat pengeksport senjata Rusia, Rosoboronexport itu merupakan jet pejuang Sukhoi generasi kelima.

Difahamkan, Su-57E mempunyai ciri halimunan (stealth) serta dilengkapi teknologi peperangan elektronik canggih dan mampu terbang dengan kelajuan supersonik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alexander Mikheev berkata, pesawat tersebut mempunyai pengalaman tempur sebenar dan mampu beroperasi dalam persekitaran peperangan elektronik yang sengit.

“Pesawat Su-57E terus menarik minat tinggi dalam kalangan rakan kerjasama Rosoboronexport.

“Ia juga berpotensi serta menjadi pilihan terbaik dalam usaha pemodenan dan pembangunan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, penyertaan Rosoboronexport dalam edisi kali ini mencerminkan hubungan ekonomi, budaya, sains dan teknologi yang erat antara Rusia dan Malaysia.

Menurut beliau, pihaknya yakin kerjasama dua hala mampu diperkukuh dalam usaha melengkapkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan sistem pertahanan moden.

Selain itu, Russia turut mempamerkan sistem pesawat tanpa pemandu (UAV) seperti Supercam S350, Orlan-10E dan Orlan-30, serta peluru berpandu merayau Lancet-E dan KUB-2E.

Pelbagai senjata ringan juga dipamerkan termasuk pistol Lebedev 9mm, submesingan PPK-20 serta rifel serangan AK-15, AK-19 dan AK-308.

DSA 2026 menyaksikan sebanyak 1,456 syarikat pempamer dari 63 negara terlibat dalam edisi kali ini, menunjukkan peningkatan berbanding 1,324 syarikat mewakili 60 negara pada edisi sebelumnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN