PETALING JAYA – Siapa sangka, hanya dengan satu komen di media sosial, ia akhirnya menjadi asbab kepada pengumpulan dana kilat daripada rakyat Malaysia buat seorang pemuda tular, Dicky.
Kisah bermula apabila Nur Alvira Aqira Kairi, 25, berniat untuk memberikan sedikit sumbangan peribadi kepada Dicky selepas tersentuh melihat video pemuda itu dibantu seorang mekanik, baru-baru ini.
“Selepas video itu tular, saya ada minta kod QR untuk membantu tetapi Dicky menolak. Jadi saya berseloroh dalam komen, kalau dia tak nak beri QR tak apa, esok saya ke tempat kerjanya dan dia kena terima tips daripada saya.
“Saya tak sangka komen itu ‘blow up’. Ramai yang hantar mesej (PM) meminta tolong supaya saya salurkan bantuan bagi pihak mereka. Ada yang dari Kedah, Sabah, Terengganu dan merata-rata tempat,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Alvira, demi memastikan amanah tersebut dilaksanakan dengan telus, dia mewujudkan sebuah kumpulan WhatsApp untuk mengemas kini setiap transaksi yang diterima daripada orang ramai sebelum bergerak ke sebuah restoran di KL East Mall, semalam.
Dia dan suaminya, Muhammad Shahril Izuan Johari, 26, terpaksa ‘memaksa’ Dicky untuk menerima sumbangan tersebut kerana pemuda itu pada mulanya keberatan untuk menerima.
“Dia menolak pada mulanya, tetapi saya dan suami paksa juga sebab itu bukan wang kami, tetapi amanah rakyat Malaysia di TikTok. Saya cakap kalau dia tolak, susah untuk saya cari semula penyumbang-penyumbang ini sebab tiada butiran mereka.
“Akhirnya dia terima dan beritahu wang itu akan digunakan untuk keperluan anaknya,” katanya.
Katanya, dia sama sekali tidak menyangka niat tulusnya itu turut membawa limpahan rezeki buat dirinya sendiri apabila akaun media sosialnya kini mula mendapat perhatian dan sokongan daripada orang ramai.
“Saya tumpang rezeki Dicky juga. Sebelum ini kalau buat sesi siaran langsung (live), penonton tiada, tapi sekarang ramai yang masuk beri sokongan dan tanya di mana tempat kerja saya.
“Apa yang penting, saya sudah jalankan amanah mereka yang memberi sumbangan melalui video yang dimuat naik di TikTok sebagai bukti bahawa bantuan tersebut sudah sampai ke tangan Dicky,” katanya. – KOSMO! ONLINE
@aieraa01_ Walaupun ujian datang bertalu-talu percaya yang TUHAN itu ada❤️ #fy #fypage #minyakhitamjalanan ♬ Kita Usahakan Lagi – Batas Senja














