PETALING JAYA – Seorang pekerja restoran, Dicky, kini sekali lagi menjadi perhatian orang ramai selepas majikannya tampil menghargai komitmen dan kerja keras pemuda itu melalui satu hantaran di Facebook, semalam.
Hantaran tersebut memuji Dicky sebagai aset syarikat yang sangat berharga, selain memberi jaminan bahawa kebajikan pekerjanya itu sentiasa menjadi keutamaan restoran berkenaan.
“Ramai yang kata mereka nak datang untuk menyokong staf kami, kami benar-benar terharu. Dicky seorang yang sangat rajin dan sentiasa bekerja keras setiap hari,” katanya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna menyarankan agar Dicky diberikan kenaikan gaji sebagai ganjaran atas sikapnya yang secara tidak langsung telah menaikkan imej restoran tersebut.
Seorang pengguna, Haelee Hadya berkata, dia mencadangkan agar Dicky diberikan peluang untuk mempromosikan restoran tersebut secara lebih meluas menerusi platform media sosial.
“Lepas ini Dicky boleh buat siaran langsung dekat TikTok. Tolong bos, berikan Dicky kenaikan gaji kerana secara tidak langsung dia telah membantu melonjakkan perniagaan anda,” katanya.
“Pekerja yang baik memang sukar dicari. Satu rahmat mempunyai pekerja yang rajin seperti ini untuk syarikat, saya harap anda melayaninya dengan baik,” kata pula pengguna Yvonne.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Dicky tidak dapat menahan sebak selepas menerima bantuan membaiki motosikalnya tanpa dikenakan sebarang bayaran oleh seorang mekanik dalam satu kejadian yang tular.
Menurut pemilik akaun minyakhitamjalanan, kejadian berlaku sekitar pukul 12.30 tengah malam selepas dia menerima panggilan daripada Dicky yang meminta bantuan apabila motosikalnya rosak di tengah jalan.
Difahamkan, bantuan tersebut diberikan atas dasar infak, sekali gus membuktikan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. – KOSMO! ONLINE














