KUALA TERENGGANU – Tiga individu termasuk seorang wanita disambung reman selama enam hari lagi sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan kes kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan yang disyaki didera pada 13 April lalu.
Permohonan sambungan reman terbabit dibenarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Sebelum ini, ketiga-tiga berusia dalam lingkungan 30-an dan 50-an yang juga keluarga angkat kanak-kanak tersebut telah ditahan di rumah mereka di Kampung Banggol Katong di sini bagi membantu siasatan.
Kosmo 15 April lalu melaporkan, kanak-kanak lelaki itu meninggal dunia setelah tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Bukit Payong, Marang.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas tubuh kanak-kanak tersebut menemukan kesan lebam dan luka pada beberapa bahagian badan termasuk dada kiri, kedua-dua paha serta betis kanan.
Beliau berkata, tanda bengkak dan gelembung air yang menunjukkan kemungkinan berlakunya jangkitan kuman ke atas mangsa juga ditemui pada tubuhnya dan disyaki menjadi mangsa penderaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














