fbpx
BLACK berharap lagu Hijab Rindu terpilih bertanding di pentas berprestij Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40). - ISKANDAR ISHAK

‘Takkan mengaku kalah, Hijab Rindu berpotensi ke AJL40’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Lama tidak bertanding di Anugerah Juara Lagu, penyanyi Black Hanifah mengakui rindu untuk kembali beraksi di pentas berprestij itu.

Mempertaruhkan lagu Hijab Rindu, Black atau nama sebenarnya Hanifah Muhammad Hanafiah, 39, turut berharap tuah berpihak kepadanya malam ini untuk melangkah ke malam kemuncak AJL40.

Hijab Rindu sangat istimewa kerana ini lagu ‘comeback’ saya selepas jalani pembedahan peti suara.

“Saya sebenarnya tak sangka lagu ini akan mendapat sambutan ramai kerana tak sempat nak buat promosi meluas sewaktu dilancarkan.

“Bila lagu ini meletup, saya mula berfikir banyak perkara. Mungkin lagu ini berpotensi untuk ke pentas AJL40,” katanya ketika ditemui di sidang media Separuh Akhir AJL40 hari pertama, di sini, semalam.

Selain lagu yang menjadi bualan, kehebatan vokal juara Mentor musim ketiga itu juga sering menjadi perhatian ramai setiap kali dia bertanding di AJL. Malah Black pernah menggengam trofi Anugerah Vokal Terbaik AJL24 16 tahun lalu.

Menurutnya lagi, meski ramai penyanyi bersuara hebat iaitu Aina Abdul, Marsha Milan, Amir Masdi dan Aisha Retno turut bertanding, dia enggan mengalah.

“Kalau dulu sewaktu saya bertanding, mungkin hanya ada seorang sahaja penyanyi yang boleh capai nada tinggi. Tetapi kini kita ada ramai penyanyi.

“Apa yang boleh saya katakan, saya akan berikan cabaran juga untuk penyanyi-penyanyi masa kini. Saya takkan mengaku kalah dan cuba buat yang terbaik.

“Mungkin saya akan masuk kelas vokal walaupun saya tak pernah sebelum ini. Bila semakin meningkat usia, kadang-kadang suara kita tak berapa nak lasak. Saya kena belajar teknik untuk panaskan badan sebelum mula menyanyi,” jelasnya.

Ditanya adakah dia rasa tercabar dengan penyanyi-penyanyi zaman kini, Black mengakui perkara itu.

“Saya rasa ini adalah persaingan yang perlu ada dalam industri. Mungkin saya ada rasa tercabar sikit. Tipulah kalau rasa tak tercabar.

“Bila lagu saya masih mendapat tempat di hati pendengar, maknanya saya dengan mereka sama. Masih lagi relevan dan masih boleh bersaing,” ujarnya.

Hijab Rindu ciptaan Rudy Nastia, Nyawa Black, Kelantan dan Adi Pawana merupakan antara 20 lagu yang layak ke peringkat Separuh Akhir AJL40 (AJL40SA).

Keputusan lagu manakah yang bakal ke pentas akhir AJL40 akan diumumkan malam ini menerusi siaran langsung AJL40SA hari kedua, yang disiarkan di TV3 pukul 9, malam ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN