KULIM – Seorang lelaki Pakistan ditahan polis kerana disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan di sebuah kedai runcit di Taman Ria, Padang Serai, di sini semalam.
Terdahulu tular satu rakaman video berdurasi 1.25 saat sejak yang merakamkan seorang wanita menyerbu sebuah kedai runcit lalu memarahi seorang lelaki warga asing dan menuduhnya melakukan perbuatan tidak bermoral terhadap adik perempuannya dikatakan berusia 11 tahun.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 3 petang sebelum mangsa yang masih di bawah umur pulang ke rumah dan memaklumkan insiden itu kepada ibunya.
Katanya, susulan itu, satu laporan polis dibuat kira-kira pukul 4.33 petang pada hari sama.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim melancarkan serbuan dan berjaya menahan seorang lelaki warga Pakistan berusia 29 tahun di Tasek Gelugor, Pulau Pinang kira-kira pukul 8.05 malam.
“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Ujian saringan air kencing ke atas suspek juga didapati negatif,” katanya di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE














