fbpx
Anggota forensik ketika melakukan siasatan di Balai Polis Ulu Tiram pada 2024.

‘Ibu si mati kata Alhamdulillah, baguslah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan kelima memberitahu, ibu kepada penyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor mengungkap rasa syukur selepas diberitahu anaknya mati dalam kejadian serangan balai polis itu yang turut mengorbankan dua anggota polis, dua tahun lalu.

Asisten Superitendan Cassidy Anak Banta, 42, berkata ibu penyerang iaitu Rosna Jantan memaklumkan demikian selepas pasukannya ke rumah penyerang balai polis itu sejurus selepas insiden berlaku pada pukul pada 17 Mei 2024.

“Reaksi ibu si mati Rosna Jantan “Alhamdulilah, baguslah tu,” kata saksi itu ketika membaca pernyataan saksinya.

Dalam pada itu, saksi itu turut memberitahu selain ibu penyerang tersebut, bapanya iaitu Radin Imran Radin Mohd. Yasin turut memberitahu dia kesal kerana suspek tidak mengajaknya pada hari kejadian.

Kata saksi itu antara ungkapan kata-kata ayah penyerang itu ialah “Saya cuma kesal kerana dia (suspek) tidak ajak saya ikut bersama,”.

Sementara itu ketika ditanya pihak pendakwaan adakah saksi itu mendengar dengan jelas kata-kata Rosna dan Radin, saksi itu menjawab dia sendiri mendengar kata-kata itu dengan jelas kerana berada bersebelahan dengan tertuduh-tertuduh.

Terdahulu, menceritakan semula kejadian tragis itu, saksi itu dalam pernyataan saksinya berkata pada 17 Mei 2024 pukul 3.30 pagi, beliau yang berada di pejabat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor telah menerima arahan untuk pergi ke tempat kejadian di Balai Polis Ulu Tiram.

“Saya dan pasukan dibenarkan masuk ke perkarangan Balai Polis Ulu Tiram pada sekitar waktu subuh hari yang sama setelah kami mendapat signal kebenaran untuk masuk ke Balai Polis Ulu Tiram.

“Apabila pasukan saya memasuki tempat kejadian, saya melihat terdapat tiga mayat bergelimpangan. Satu mayat berpakaian uniform anggota polis dijumpai di parkir motosikal Balai Polis Ulu Tiram, dan dua mayat lagi dijumpai di tepi pagar berhampiran kereta perisai polis di hadapan balai tersebut,” kata saksi itu.

Selanjutnya beliau kemudian telah membuat semakan terhadap motosikal yang dipercayai ditunggang suspek yang membuat serangan di balai polis itu.

Hasil daripada semakan itu, butiran menunjukkan tertera satu alamat rumah di Kampung Sungai Tiram yang mana rumah itu dihuni oleh keluarga suspek.

“Selepas dimaklumkan mengenai kejadian, saya telah menahan kesemua suspek kerana disyaki terlibat di dalam kes di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan bersabit Ulu Tiram dan saya boleh camkan kesemua suspek yang merupakan Orang Kena Tuduh (OKT) dalam kes ini,” kata saksi itu lagi.

Tambahnya selain tangkapan terhadap keluarga suspek, polis juga turut merampas beberapa barang kes antaranya beberapa buku latihan yang tertera nama tertuduh-tertuduh, empat laras senapang serta sembilan paip polivilil klorida (PVC) yang dipercayai untuk pembuatan senapang.

Ujarnya kesemua tertuduh kemudian telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam bagi siasatan lanjut.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor bersambung lagi 27 April ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam manakala tertuduh-tertuduh yang juga lima ahli keluarga suspek serangan balai polis itu diwakili peguam Faizal Rahman dan Fatimah Zulaikha Ahmad Bashri.

Pada hari ini, ketika pertuduhan dibacakan semula terhadap kelima-lima tertuduh yang diwakili peguam Faizal Rahman dan Fatima Zulaikha Ahmad Bashri, mereka mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Ibu penyerang balai, Rosna Jantan, 61, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru antara April 2017 hingga 17 Mei 2024

Bapanya Radin Imran Radin Mohd. Yassin, 64, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menanam fahaman ideologi keganasan, memberi sokongan kepada perbuatan pengganas, memiliki senjata api untuk menjalankan aktiviti berkaitan keganasan dan memiliki sebuah buku berkaitan kumpulan pengganas

Sementara itu, adik beradik penyerang Radin Romyullah, 36, juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh di sebuah rumah di lokasi sama.

Dua anak perempuan Radin Imran, Farhah Sobrina, 25, dan Mariah, 21, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja enggan memberi maklumat berkenaan berkaitan ideologi keganasan.

Dalam serangan itu, dua konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said , 24, terkorban manakala Koperal Mohd. Hasif Roslan, 38, cedera ditembak selepas diserang seorang penyerang lelaki yang akhirnya ditembak mati dalam insiden tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN