fbpx
SEBUAH pesawat mengisi bahan api di Lapangan Terbang Antarabangsa Austin-Bergrstrom, Texas pada 10 April lalu. – AFP 

Krisis bahan api jet diramal seawal bulan depan, Asia, Eropah paling terkesan  

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PARIS – Risiko berlaku kekurangan bahan api jet semakin meningkat setiap hari Selat Hormuz kekal ditutup, walaupun bila bekalan akan habis sepenuhnya tidak dapat dipastikan.

Risiko paling besar adalah di Benua Asia dan lebih rendah di Eropah. Ini kerana kedua-dua rantau bergantung pada sumber minyak Teluk dan kilang-kilang penapisnya untuk mendapatkan bekalan.

“Situasi ini boleh berlaku  dalam tempoh tiga atau empat minggu akan datang dan menjadi sistemik,” kata ahli ekonomi Rystad Energy, Claudio Galimberti kepada saluran berita kewangan CNBC kelmarin ketika ditanya mengenai kekurangan bahan api jet.

“Jadi, anda boleh mengalami pemotongan penerbangan yang teruk di Eropah yang telah bermula untuk Mei dan Jun ini,” dia memberi amaran.

Galimberti berkata, penerbangan telah dibatalkan disebabkan kekurangan bahan api, tetapi Suruhanjaya Eropah pada hari sama memberitahu, belum ada kekurangan bahan api jet setakat ini.

“Pada masa ini, tiada bukti kekurangan bahan api berlaku di Kesatuan Eropah,” kata jurucakapnya, Anna-Kaisa Itkonen.

Bagaimanapun, beliau berkata, isu bekalan berkurangan boleh berlaku dalam masa terdekat terutamanya untuk bahan api jet.

Minggu lalu, Majlis Antarabangsa Lapangan Terbang Eropah menulis surat kepada Suruhanjaya Eropah menyatakan, kekurangan bahan api jet boleh bermula dalam masa tiga minggu atau awal Mei ini,  sekiranya kapal-kapal tangki tidak mula belayar melalui Selat Hormuz sebelum itu.

Trafik melalui Selat Hormuz yang membawa satu perlima bekalan minyak mentah dunia dan gas asli cecair telah disekat hampir sepenuhnya sejak Amerika Syarikat dan Israel mula mengebom Iran pada 28 Februari lalu.

Sementara itu, Ketua Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Fatih Birol turut memberi amaran bahawa Eropah mungkin menghadapi kekurangan bahan api jet ‘mungkin seawal Mei ini’. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN