fbpx
Sebahagian dari ahli trip bersama hasil pancingan.

Ada ‘manis-manis’ di Kuala Gula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKAN senang untuk menjayakan trip memancing dua hari dengan jumlah peserta seramai 12 orang menggunakan empat buah sampan fiber bersama empat orang tekong yang pastinya berlainan ‘kepala’.

Namun berkat semangat bekerjasama sesama ahli, trip ini berjaya juga dilaksanakan dengan diketuai oleh Mior Nazri.

Awal pagi itu, berbekalkan 400 ekor udang hidup, 200 ekor anak ikan belanak hidup serta beberapa kilogram (kg) ikan pelaling pasar, bot mula bergerak meninggalkan Jeti Kuala Kurau, Perak.

Perjalanan bot mengambil masa kira-kira 45 minit sahaja untuk sampai ke beberapa buah sangkar ternakan ikan air masin yang terletak di Kuala Gula.

Sangkar ternakan ini membela pelbagai spesies ikan untuk pasaran tempatan seperti siakap putih, siakap merah, jenahak, kerapu, bawal pinang, merah dan lain-lain.

Rutin kegiatan di atas sangkar adalah memberi makan ikan, dan pada masa-masa tertentu jaring sangkar akan dibersihkan.

Jadi, sekitar kawasan ini dilimpahi banyak makanan. Apabila makanan mudah diperolehi, maka ikan-ikan di kawasan sekitar menjadikan struktur sangkar seperti pelampung dan tali sauh sebagai sebahagian daripada habitatnya.

Selain itu, ikan-ikan dari dalam sangkar yang terlepas akibat jaring bocor atau pecah juga tidak lari jauh.

Ikan kurau gemar berlegar-legar di celah-celah sangkar untuk menyambar ikan-ikan kecil yang menunggu makanan hanyut keluar dari sangkar.

Ia akan berlegar-legar berhampiran sangkar asalnya kerana ia tahu ada makanan yang diberikan pada jadual tetap.

Sebab itulah penting bagi pengunjung yang ingin memancing di sini untuk ambil endah berita sangkar pecah supaya tidak membuang masa mencuba pelbagai lokasi untuk mendapatkan hasil, sebalik­nya terus ke lokasi produktif.

Waktu tauke sangkar memberi makanan perlu juga diberi perhatian kerana itulah masanya ikan aktif mencari makanan, sekali gus akan mengambil umpan dihulurkan.

Selain itu, waktu pertukaran arus dari pasang ke surut dan surut ke pasang juga merupakan masa ikan bernafsu untuk membedal umpan.

Teknikal

‘Kuat lawan kuat’ merupakan prinsip pancingan di tepi sangkar kerana kawasan dasar dipenuhi struktur yang mudah memutuskan tali, sekali gus membuatkan pengunjung berputih mata.

Tiada istilah seorang pemancing melabuhkan dua atau lebih umpan di sini. Cara terbaik adalah dengan memegang satu joran sahaja dan setiap kali ikan makan umpan, ia harus ditangani dengan pantas sebelum ikan sempat mencapai struktur.

Oleh itu, set pancing kelas berat dengan tali utama dan perambut yang kasar akan digunakan.

Tidak penting menggunakan set pancing terlalu mahal (high end) kerana cara perlawanan yang ekstrem boleh membuatkan joran patah dan tali terlalu halus putus begitu sahaja.

Di sini, bukan game yang dicari, sebaliknya hanya lauk untuk keluarga semata-mata.

Kaedah pancingan popular di sini adalah secara mengantung umpan tiga suku dari dasar.

Ikan kerapu biasanya memberikan tentangan padu, dan yang berstatus ‘boron’ jarang sekali dapat didaratkan.

Ini kerana, ikan-ikan gred A jarang mendap di dasar, ia banyak berlegar di perimeter pertengahan air.

Walaupun ada ketikanya spesies ikan ‘cantik’ makan umpan di dasar, namun yang selalu mengganggu adalah ikan duri yang populasinya mungkin beribu di sekitar sangkar ternakan ini.

Pada hari pertama, kutipan hasil pancingan memuaskan hati dengan beberapa ekor ikan merah, kerapu, baby gerepoh (GT), siakap putih dan senangin.

Semua bot pulang ke jeti lewat petang itu supaya kami dapat berehat di inap desa kerana esok ada satu hari lagi pancingan di tempat sama.

Hari kedua

Hari kedua trip menyaksikan beberapa spesies lain berjaya didaratkan seperti kurau, sembilang, bawal emas, gerut-gerut, talang dan pari.

Mungkin arus yang bersesuaian, sambutan ikan juga lebih baik dari semalam apabila banyak tangkapan bersaiz kasar dinaikkan, namun kerap juga tali terputus.

Peliknya, ikan-ikan di kawasan ini tidak rasa serik walaupun berkali-kali mata kail telah tertancap di mulutnya. Ia masih lagi sudi membaham umpan yang dihulurkan terutamanya udang hidup.

Ini terbukti kerana ada beberapa ekor ikan yang kami dapat memiliki perambut yang terputus di mulutnya. Pancingan di sangkar ikan ini tiada istilah orang lama, sifu atau pemancing baharu.

Semua orang boleh merasa tarikan ikan sekurang-kurangnya ikan duri. Cuma untuk mendapatkan ikan spesies idaman itu memerlukan nasib dan rezeki.

Terasa sehari bagaikan sekejap sahaja apabila asyik dengan rembatan ikan seharian.

Kami pulang ke jeti dengan perasaan puas hati, dan berjanji akan mengulang lagi trip ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN