fbpx
SYUWAN cukup selesa ‘berinteraksi’ dengan kucing.

Minat jaga kucing bantu Syuwan jana pendapatan tetap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Minat terhadap kucing yang bermula secara sederhana, akhirnya membuka pintu rezeki buat seorang anak muda, Muhammad Syazwan Adli Mat Rahim.

Pemuda yang mesra disapa sebagai Syuwan itu kini menawarkan perkhidmatan menjaga kucing secara lawatan ke rumah pelanggan.

Kandungan TikTok Syuwan, 26, yang menunjukkan dia pergi ke rumah pelanggan untuk menjaga haiwan comel itu sentiasa mencuri tumpuan netizen.

Ini membuatkan ramai mula berminat untuk mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Syuwan.

Menurut anak kelahiran Kajang, Selangor itu, pada awalnya dia bukanlah seorang pencinta kucing tegar, namun sentiasa berasa selesa ‘berinteraksi’ dengan haiwan tersebut.

“Saya bukanlah terlalu minat kucing, namun saya memang selesa dan suka berinteraksi dengan kucing.

“Dari situ, saya mula belajar untuk memahami tingkah laku kucing, sekali gus membuatkan saya semakin dekat dan menghargai karakter setiap kucing yang dijaga,” katanya kepada K-Remaja.

Permulaan Syuwan dalam perkhidmatan itu tidak disertai harapan terlalu tinggi, sebaliknya dia sekadar mencuba nasib.

“Masa mula-mula saya promosi perkhidmatan ini, saya tak letak harapan yang terlalu tinggi. Saya anggap, kalau ada rezeki, pasti tidak akan ke mana.

“Namun, segalanya berubah apabila permintaan terhadap perkhidmatan menjaga kucing meningkat secara mendadak ketika musim Hari Raya Aidilfitri pada tahun 2023.

“Situasi itu membuka mata saya bahawa perkhidmatan tersebut mempunyai potensi untuk dijadikan sumber pendapatan stabil.

Pemuda berusia 26 tahun ini memilih untuk memberi fokus kepada konsep home visit bagi perkhidmatan menjaga kucing.

“Dari situ, saya sedar ini bukan sekadar cuba-cuba,” katanya yang menjadikan servis itu sebagai kerjaya tetapnya ketika ini.

Ujar Syuwan, tugasnya adalah datang ke rumah pelanggan mengikut jadual yang ditetapkan untuk menjaga kebajikan kucing seperti memberi ia makan dan minum.

Malah ada ketikanya, Syuwan pergi ke dua atau tiga buah rumah dalam sehari untuk menjaga kucing pelanggan.

Dalam mengendalikan perkhidmatan tersebut, Syuwan memilih untuk memberi fokus kepada konsep home visit sahaja kerana berpendapat ia lebih sesuai buat kucing.

“Kucing tak perlu pindah tempat dan ia boleh kekal dalam persekitaran sendiri,” ujarnya sambil memaklumkan pendekatan itu dapat mengurangkan tekanan kepada haiwan tersebut.

Mengulas mengenai perkhidmatannya, Syuwan berkata, dia amat menitikberatkan aspek kebersihan dan keselesaan kucing.

Malah, Syuwan tidak berkira masa untuk memastikan semuanya berada dalam keadaan terbaik.

“Kadang-kadang saya akan ambil lebih masa untuk pastikan semuanya betul-betul bersih dan terurus, sebelum pulang,” katanya.

Selain itu, dia sentiasa memberi perhatian kepada cara layanan terhadap kucing dengan pendekatan yang tenang agar haiwan tersebut berasa selesa ketika diberi makan dan ditinggalkan.

Menurutnya, bagi membina kepercayaan pelanggan, setiap tugasan dilakukan dengan penuh komited.

“Saya pastikan kerja dilakukan dengan baik dan beri update kepada pelanggan supaya mereka rasa lebih tenang,” katanya.

Namun begitu, Syuwan memaklumkan, cabaran tetap wujud terutamanya dari segi tenaga kerana perlu mengendalikan banyak tugasan setiap hari.

Katanya lagi, setiap kucing juga mempunyai perangai berbeza yang memerlukan pendekatan tersendiri.

“Setiap kucing berbeza, jadi saya kena ubah cara pengendalian mengikut kesesuaian,” jelasnya.

Di sebalik cabaran tersebut, kepuasan tetap dirasai apabila melihat perubahan pada kucing selepas kehadirannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN