fbpx
Mohamad Rohaizad ketika hadir ke Mahkamah Shah Alam. Foto SADDAM YUSOFF/KOSMO!

Dua pemilik syarikat didenda guna dokumen palsu kuota pekerja asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Dua pemilik syarikat didenda RM10,000 hingga RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan kelulusan kuota tenaga kerja asing.

Hakim Datuk Nasir Mohd. Nordin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Rohaizad Rafire Mohamad, 30, dan Ali Mohamad, 63, selepas kedua-dua tertuduh membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan berasingan.

Mohamad Rohaizad dikenakan denda keseluruhan RM20,000 bagi dua pertuduhan kerana secara curang menggunakan Surat Tawaran (LOA) palsu bertarikh 1 Ogos 2022 yang dikemukakan kepada Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Cawangan Kajang pada 2 dan 24 November 2023.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Sementara itu, Ali Mohamad didenda
RM10,000 selepas didapati mengemukakan LOA palsu di JIM Selangor pada 23 Februari 2024.

Kesemua kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Arif Asyraf Mohd. Khairi manakala kedua-dua tertuduh diwakili Peguam Low Carmen.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, dua pemilik syarikat lain mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Abdul Razak Nawab Din, 69 didakwa dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu penjanjian perkhidmatan pembersihan bagi urusan pekerja asing manakala Noor Hidayani Jailani, 41, pula didakwa mengemukakan LOA palsu.

Kesalahan itu dilakukan kedua-dua tertuduh antara 11 Mei dan 22 Mei dan 2 Jun 2023 dan didakwa mengikut seksyen sama.

Mahkamah membenarkan jaminan masing-masing RM7,000 dan RM5,000 dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 5 Mei ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin dan Datin Raj Preef Kaur mewakili kedua-dua tertuduh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN