fbpx
Penyanyi Pija Yasin kini tampil dengan perubahan imej yang lebih manis apabila mengambil keputusan untuk berhijab sejak empat bulan lalu.

Pija nekad bertudung, muka macam nenek kebayan depan cermin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Selepas lama menghilang dalam radar industri, penyanyi Pija Yasin kini tampil dengan perubahan imej yang lebih manis apabila mengambil keputusan untuk berhijab sejak empat bulan lalu.

Pija atau nama lengkapnya Norafizah Mohd. Yasin, 38, mendedahkan penghijrahannya bermula susulan daripada pengalaman mistik yang berlaku sekitar awal tahun lalu sekali gus menjadi asbab hidayah buatnya. 

“Saya dah bertudung baru empat bulan sebab sebelum ini saya sebenarnya ada perkara mistik terjadi dan pernah ada niat nak berijab. 

“Memang daripada muda dulu saya ada simpan niat sebelum umr 40 tahun nak berhijab. Tapi Allah dah kirimkan hidayah lebih awal. 

“Alhamdulillah, tak sampai 40 tahun saya dah buat keputusan untuk berhijab,” katanya kepada Kosmo! Online pada Majlis Hari Raya Suria Records, baru-baru ini. 

Menceritakan lanjut, juara Mentor 2005 itu melalui episod gangguan yang sukar dijelaskan secara logik selama tiga malam berturut-turut.

“Saya sakit, saya memang tiada anxiety atau kemurungan. Tak pernah alami kejadian itu seumur hidup. 

“Ada tiga malam berturut-turut, saya tak boleh tidur dan makan. Saya juga bermimpi buruk, saya takut saya gila. 

“Bila saya minta pertolongan daripada Allah, itu sahajalah kita mampu buat. Benda itu memberi saya mesej sampai saya betul-betul berubah dan dapat jawapan,” kongsinya. 

Pija turut mendedahkan bahawa dia dipercayai menjadi mangsa perbuatan khianat yang berkait dengan penyakit ain (pandangan mata). 

“Saya mimpi ada jin muncul dan arwah mak serta ayah saya beritahu saya memang dibuat. Buatan tersebut salah satunya sebab penyakit ain juga. 

“Mungkin semasa saya kahwin dahulu. Selepas itu ada orang terlampau suka dekat saya, wallahualam,” ujarnya. 

Selepas melalui ujian getir tersebut, Pija kini lebih bersemangat dan mempunyai keyakinan diri lebih tinggi berbanding sebelum ini. 

“Awal-awal saya ubat diri sendiri sebab memang pernah belajar juga dengan arwah ayah. Selepas itu saya tak tahan saya telefon abang ipar saya. 

“Ketika itu, saya tengok muka saya dalam cermin macam nenek kebayan. Selepas dia berubat, barulah badan saya ringan dan terus menangis. 

“Selepas berubat alhamdulillah saya lagi bersemangat dan lebih berhati-hati, peka serta fokus. Sebelum saya dapat sakit saya lebih kepada terlampau emosi, tak ada keyakinan diri,” tuturnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN