TIDAK bimbang dicop sebagai ‘penyanyi semusim’, juara Gegar Vaganza ke-12 (GV12), Iskandar Ismail mahu sentiasa aktif dan tampil dengan lagu baharu agar terus kekal relevan.
Begitupun, penyanyi asal Singapura itu mengakui tetap timbul kebimbangan kurang dikenali peminat di Malaysia memandangkan banyak masa di negara sendiri.
Sejak memenangi pertandingan GV12 pada Januari lalu, tawaran mengadakan persembahan yang tidak putus-putus di Singapura menjadikan jadual karier sentiasa terisi.
“Saya tidak risau digelar penyanyi semusim kerana selepas bergelar juara GV12 saya sudah menghasilkan beberapa karya dengan terkini duet bersama Idayu menerusi lagu Mahal.
“Begitupun, ada juga terselit perasaan bimbang kalau ada orang sangka saya hanya rancak mengatur langkah di Singapura. Hakikatnya boleh dikatakan hampir setiap minggu saya berulang ke sini (Kuala Lumpur).
“Syukur kerana saya masih mendapat kepercayaan peminat serta penganjur acara di Malaysia,” katanya ketika ditemui dalam majlis Santai Media di RedBox The Garden, baru-baru ini.
Dalam majlis tersebut, Iskandar, 47, turut mempersembahkan lagu ciptaan Farouk Roman berduet bersama Idayu serta lagu raya, Pulanglah 2026 nyanyian asal Datuk Aishah yang dirakam semula.
Akui penyanyi berusia 47 tahun itu, kedua-dua dendangan berkenaan mempunyai keistimewaan tersendiri yang membuatkannya berbangga dapat menyampaikannya untuk halwa telinga umum.
Pasa masa sama, anak kepada penyanyi era 50-an Allahyarham R Ismail itu juga belum terfikir untuk berhijrah ke negara ini kerana mempunyai keluarga serta ramai saudara-mara di Singapura.
“Saya masih berpangkalan di Singapura. Belum terfikir untuk pindah. Penat memang penat, namun setakat ini tiada masalah berulang alik mengikut keperluan tawaran kerja.
“Kiranya keluarga pun memberi lampu hijau untuk saya bergerak dalam mengatur kerjaya seni dengan bantuan syarikat pengurusan Mind Order,” ujarnya.
Idayu ‘power’
Menyentuh mengenai gandingan dengan Idayu, Iskandar menjalani sesi rakaman intensif di bawah bimbingan Vocal Stylist, Afif Tirmizie.
Pemilihan Idayu sebagai rakan duet memberikan impak besar kepadanya, sekali gus menunjukkan standard vokal yang tinggi.
“Semua tahu vokal Idayu dan bagi memastikan setiap not dilontarkan seimbang serta mampu sama tahap dengannya, saya sanggup mendapatkan khidmat Vocal Stylist.
“Istimewanya Mahal dipilih sebagai runut bunyi utama bagi drama rantaian 60 episod Mencari Isteri Sempurna siaran Astro,” katanya.














