KUALA LUMPUR – Pemain Negeri Sembilan, Yang Zhen Yu melakar kejutan apabila meraih gelaran sulung musim ini dalam acara perseorangan lelaki bawah 16 tahun pada aksi Kumpulan C Pusingan Kedua Jelajah Elit Remaja (JET) 2026 di Kuala Terengganu.
Pada aksi final yang berlangsung hari ini, pemain berusia 16 tahun itu memastikan gelaran menjadi miliknya selepas menundukkan Joshua Karunagaran dari Kedah menerusi keputusan straight-set 21-15, 21-19.
Kemenangan itu sekali gus membuktikan kejayaan menewaskan pilihan utama, Kieshen Sai Rao Nyanaprakash di separuh akhir sebelum ini bukan sekadar faktor nasib.
Sementara itu, dalam aksi perseorangan wanita, Lau Xin En mengekalkan rentak konsisten apabila meraih gelaran kedua berturut-turut selepas turut memenangi aksi final pusingan pertama dua bulan lalu.
Dalam aksi final hari ini, Xin En berjaya mengetepikan cabaran pemain tuan rumah, Dayana Farisha Rizuan Sahari menerusi kemenangan 21-16, 22-20 dalam tempoh 30 minit.
Terdahulu, Dayana menunjukkan semangat juang cukup tinggi apabila berjaya menyingkirkan pilihan kedua dari Kedah, See Jie Le di pusingan separuh akhir.
Bagaimanapun, hasratnya untuk melakar kejutan tidak kesampaian apabila terpaksa berdepan Xin En yang merupakan juara pusingan pertama selain memiliki pengalaman lebih luas. – KOSMO! ONLINE














