fbpx
ARMAN (kanan) menyempurnakan simbolik Perasmian Majlis Penyerahan Projek Program Kampung Angkat Madani UPNM di Kampung Alai, Melaka hari ini. Foto oleh AMRAN ALI / KOSMO!

Sentuhan UPNM ubah wajah Kampung Alai sekelip mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Kampung Alai di sini seakan berubah ‘sekelip mata’ apabila pelbagai projek pembangunan dan sosial bernilai keseluruhan RM1 juta berjaya disiapkan menerusi Program Kampung Angkat Madani oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Transformasi itu jelas dirasai penduduk apabila kemudahan asas sedia ada kini ditambah baik, sekali gus memberi keselesaan dan membuka ruang kepada pembangunan komuniti yang lebih mampan.

Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad berkata, program berkenaan bukan sekadar tertumpu kepada pembangunan fizikal, sebaliknya merangkumi usaha menyeluruh memperkasa sosioekonomi penduduk.
“Program Kampung Angkat Madani ini bukan sekadar projek fizikal, tetapi merupakan tekad untuk merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

“Kemudahan yang disediakan bukan sahaja memudahkan urusan harian, malah membuka peluang kepada aktiviti ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan komuniti,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Program Kampung Angkat Madani UPNM di Kampung Alai di sini hari ini.

Menurutnya, antara projek yang dilaksanakan termasuk pembinaan gelanggang futsal berbumbung, naik taraf kemudahan Masjid Al-Falihin, pemasangan lampu di tanah perkuburan Islam serta pembaikan gerai ekonomi penduduk.

Selain itu, katanya, program berbentuk sosial turut dilaksanakan seperti pembangunan pendidikan pelajar, pemeriksaan kesihatan komuniti serta sumbangan kepada golongan memerlukan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN