KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Pahang berjaya mengurangkan beban hutang kepada Kerajaan Persekutuan daripada RM3.2 bilion kepada kira-kira RM950 juta sejak 2018.
Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian itu hasil usaha berterusan pentadbiran negeri dalam tempoh kira-kira empat hingga lima tahun.
Menurutnya, kedudukan hutang Pahang suatu ketika dahulu pernah menjadi perhatian apabila negeri itu mencatat jumlah tertinggi berbanding negeri lain.
“Semasa saya mula-mula menjadi Menteri Besar dan hadir mesyuarat kewangan negara, apabila dipaparkan kedudukan hutang kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan, yang pertama sekali keluar ialah Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Rumah Terbuka Aidilfitri Perantau Anak Pahang di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Tambahnya, pengurangan hutang tersebut tidak berlaku secara mendadak, sebaliknya dilaksanakan secara berperingkat sejak 2018.
“Daripada RM3.2 bilion, sekarang tinggal lebih kurang RM950 juta sahaja,” katanya.
Mengulas tempoh untuk melangsaikan baki hutang, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri akan meneruskan pendekatan berperingkat.
“Bagi saya bawah daripada RM1 bilion itu sudah baik, dan kita akan teruskan usaha untuk mengurangkannya lagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE














