JASIN – Kalimah Allah yang ditulis di sebuah tokong di Jalan Jeti Anjung Batu – Pantai Siring dekat sini telah dipadamkan oleh penguat kuasa pihak Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), petang tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan berkata, tindakan itu diambil selepas kebenaran diperoleh daripada pemilik tokong berkenaan.
Katanya, langkah susulan memindahkan tokong tersebut juga akan dilakukan selepas pemilik selesai membuat upacara keagamaan dan mengambil barangan di tokong.
“Ada satu ritual yang ada pada agama mereka yang perlu kita hormati sebelum tindakan merobohkan diambil bagi membolehkan tuan punya mengambil bahan-bahan suci mereka untuk dibawa semula ke tempat penyembahan mereka yang lain.
“Selepas daripada proses itu, barulah kita akan laksanakan proses perubahan tempat penyembahan yang dibina di atas tanah kerajaan di tepi Pantai Siring ini,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini, hari ini.
Zaidi berkata, kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada tindakan seorang lelaki kurang siuman yang sebelum ini dilihat menconteng kalimah Allah di beberapa tempat termasuk dinding dan tiang elektrik di kawasan tersebut.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan penduduk di Pantai Siring dekat sini gempar apabila menemui kalimah Allah ditulis di dalam sebuah tokong di Jalan Jeti Anjung Batu – Pantai Siring, di sini, malam tadi. – KOSMO! ONLINE














