fbpx
Gambar yang dimuat naik pengguna media sosial memaparkan fenomena iridesens awan.

[VIDEO] ‘Malaysia pun ada aurora tersendiri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Fenomena awan berwarna-warni atau lebih dikenali sebagai ‘cloud iridescence’ mencuri perhatian orang ramai apabila gambar dan rakaman mengenainya mula tular di media sosial sejak semalam.

Menerusi beberapa perkongsian pengguna, fenomena itu dilihat muncul di beberapa lokasi termasuk Lembah Klang, Kuantan dan Kuching, sekali gus mengundang rasa teruja dalam kalangan orang ramai yang menyifatkannya sebagai pemandangan luar biasa dan cantik.

Di dalam video itu, kelihatan jaluran warna merah jambu dan kebiruan terlindung di sebalik awan, manakala cahaya terang pula memancar dari arah lapisan pelangi berkenaan.
Ada yang mengakui itu merupakan kali pertama mereka melihat fenomena sedemikian secara langsung, manakala sebahagian lain pula berkongsi pengalaman serta gambar masing-masing.

Fenomena tersebut difahamkan dikenali sebagai cloud iridescence atau iridesens awan, iaitu keadaan apabila awan memperlihatkan warna-warna lembut seperti merah jambu, hijau, biru, kuning dan ungu akibat pembiasan cahaya matahari.

Kejadian ini biasanya berlaku apabila cahaya matahari melalui titisan air atau kristal ais yang sangat halus di dalam awan, terutamanya awan nipis di kawasan berhampiran matahari.

Warna yang terhasil itu pula muncul kerana cahaya dibelokkan dan tersebar dalam panjang gelombang berbeza, lalu menghasilkan kesan seakan-akan pelangi di permukaan atau pinggir awan.

Fenomena ini bagaimanapun tidak berbahaya dan bukan petanda luar biasa, sebaliknya merupakan kejadian optik atmosfera yang kadangkala boleh dilihat ketika cuaca tertentu, terutama apabila kedudukan matahari dan struktur awan berada dalam keadaan sesuai.

Walau bagaimanapun, disebabkan syarat kejadiannya agak khusus, fenomena berkenaan tidak berlaku setiap hari, menyebabkan setiap kemunculannya sering menarik perhatian orang ramai serta menjadi tular di media sosial.

Sementara itu, di ruangan komen orang ramai menyifatkan pemandangan itu sebagai sesuatu yang memukau dan menenangkan, selain ada menyamakan bentuk warnanya seperti lukisan langit yang indah.

“Ya Allah beruntungnya kalau dapat tengok depan-depan ni,” komen Puteri.

“Ya saya pun pernah nampak selalu petang kan. Cantik sangat macam ‘liquid rainbow’ tapi kat awan Subhanallah hebat Allah cipta,” komen Uzwaz

“Cantik sangat macam lukisan. Dekat Malaysia pun ada ‘aurora’ rupanya,” komen Harith. – KOSMO! ONLINE

 

View on Threads

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN