fbpx
KECEMERLANGAN hafiz-hafiz 30 juzuk al-Quran dalam akademik antaranya Fakhrul Iman yang meraih 11A+ dan pelajar nombor satu Kelantan, Muhammad Izz Darwisy yang raih 12A+ SPM menyedarkan kita keajaiban otak manusia ciptaan Tuhan.

Memori otak kita tidak pernah penuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“Boleh ingatkah semua ini?”

Seringkali kita mengeluh banyak perkara yang perlu diingat dalam hidup ini sehingga kita meragui sejauh mana otak kita mampu menyumbat sekian banyak memori. Ramai antara kita semakin kurang guna otak sebaliknya lebih bergantung kepada bidikan foto telefon bimbit untuk mengingat sesuatu.

Namun, tahun demi tahun, semakin ramai membuktikan kepada kita bahawa otak ciptaan Allah ini benar-benar menakjubkan. Ia mampu menghafal 6,236 ayat iaitu senaskhah al-Quran bahkan masih punya banyak ruang atau kapasiti untuk menghafal yang lain. Hanya kita sahaja yang mahu atau tidak mencabar otak.

Setiap tahun kita mendengar kejayaan para penghafaz atau huffaz al-Quran yang juga cemerlang dalam pelajaran. Lebih-lebih lagi tahun ini yang begitu menonjol dengan kejayaan hafiz-hafiz al-Quran terutama kisah hangat anak seorang penjual pisang goreng di Negeri Sembilan yang meraih 11A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Fakhrul Iman Zainudin, 18 dari Sekolah Menengah Agama Teluk Kemang yang merupakan seorang hafiz al-Quran 30 juzuk berjaya meraih 11A+ SPM bagi kesemua subjek diambilnya.

Kejayaannya telah mendapat perhatian banyak pihak yang tersentuh hati dengan kisah kejayaan anak peniaga goreng pisang, Zainudin Abdul Latif, 63, itu sehingga Majlis Amanah Rakyat (Mara) menawarkan Fakhrul Iman pengajian ke Jordan.

Sementara itu, di Kelantan, hafiz 30 juzuk al-Quran dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Bachok, Muhammad Izz Darwisy Zamani, 18, dinobat Pelajar Terbaik SPM 2025 Negeri Kelantan apabila memperoleh keputusan cemerlang 12A+.

Izz Darwisy meraih A+ dalam subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Bahasa Arab, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Hifz al-Quran dan Maharat al-Quran. Lihatlah kepelbagaian subjek yang berjaya dikuasainya.

Berstatus Sekolah Kluster Kecemerlangan, SMKA Tok Bachok menyerlah melalui pelaksanaan Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) yang menggabungkan kecemerlangan akademik dan hafazan al-Quran. Banyak sekolah berteraskan hafazan al-Quran juga menunjukkan kecemerlangan dalam akademik antaranya dengan kejayaan-kejayaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab.

Berdasarkan sains, otak manusia dikatakan mempunyai kapasiti memori yang terlalu besar sehingga infiniti atau sukar dikira, ia mungkin dianggarkan 2.5 juta gigabait.

Memandang senaskhah al-Quran sahaja berasa begitu berat untuk dibaca oleh sesetengah kita, apatah lagi untuk menjadikan ia melekat di dalam minda sepenuhnya. Sekalipun sudah menghafaz senaskhah al-Quran, sentiasa ada ruang untuk menghafal atau mengingat perkara atau fakta-fakta
lain dengan baik.

Menghafaz al-Quran tidak pernah membebankan atau ‘memenuhkan’ kapasiti otak pelajar, bahkan dilihat mendorong memudahkan untuk mengingati subjek-subjek yang lain dengan cukup cemerlang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN