JASIN – Penduduk di Serkam dekat sini gempar apabila menemui kalimah Allah ditulis di dalam sebuah tokong di Jalan Jeti Anjung Batu – Pantai Siring, di sini, malam tadi.
Kejadian itu disedari sekumpulan pemancing yang kemudian memaklumkan perkara tersebut kepada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman.
Menurut Rahmad, pihaknya telah bergegas ke lokasi dan pemeriksaan pada pukul 11 malam tadi mendapati, binaan tokong berkenaan berada berhampiran tanah berpagar milik individu di kawasan hutan paya bakau.
“Pemeriksaan awal mendapati, tokong ini dipercayai telah wujud sejak dua hingga tiga tahun lalu, namun tulisan kalimah ‘Allah’ dan ‘Bismillahirrahmanirrahim’ (dalam tulisan Arab) hanya dikesan malam ini (tadi).
“Perkara sensitif sebegini boleh mencetuskan kontroversi antara kaum serta agama dan saya telah meminta pihak polis membuat kawalan sementara menunggu tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di lokasi, malam tadi.
Katanya, siasatan lanjut akan dilakukan oleh pihak Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan polis bagi mengesan individu bertanggungjawab.
Tambahnya lagi, satu perbincangan juga akan dilaksanakan membabitkan agensi tersebut bersama-sama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
“Tindakan siasatan mesti dibuat termasuk oleh JAIM dan polis untuk mengetahui bagaimana perkara ini boleh berlaku kerana kita tidak mahu isu sebegini mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.
“Saya juga telah meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan untuk berhubung dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tindakan penguatkuasaan sekiranya pembinaan itu didapati tidak mendapat kebenaran,” katanya.
Jelasnya, sekiranya ia berada di dalam kawasan rizab pantai, maka pembinaan itu tidak boleh dilakukan tanpa kelulusan pihak berkaitan. – KOSMO! ONLINE














