SHAH ALAM – Perbuatan mendera haiwan semata-mata untuk hiburan dikenal pasti antara punca yang mendorong berlakunya kes-kes penganiayaan terutama terhadap haiwan.
Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu bukan sahaja menyebabkan kecederaan, malah mencerminkan tahap kesedaran masyarakat yang masih rendah terhadap aspek kebajikan haiwan.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor, Dr. Hassuzana Khalil berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati terdapat individu yang sanggup menyakiti haiwan hanya untuk berseronok atau melepaskan tekanan tanpa memikirkan penderitaan haiwan terbabit.
“Ini dapat dilihat apabila DVS menahan seorang lelaki yang tular berulang kali mencampak anak kucing pada dinding dan tilam premis dobi di Kajang minggu lalu. Tindakan itu dipercayai bagi menghiburkan hatinya.
“Lelaki itu telah dijatuhi hukuman di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya.
Menurut beliau, terdapat juga kes penderaan yang berlaku disebabkan tekanan emosi akibat masalah kehidupan atau keadaan persekitaran yang tidak menyenangkan.
Sebagai contoh katanya, kes penganiayaan di Kajang pada 2024 apabila seekor anak kucing dibakar oleh individu tidak bertanggungjawab, dengan suspek masih diburu sehingga kini.
Hassuzana berkata, ada juga individu yang bertindak mendera haiwan kerana mahu membalas dendam terhadap pemilik haiwan tersebut.
“Malah, pengaruh dadah dan alkohol juga boleh menyebabkan seseorang hilang pertimbangan sehingga bertindak di luar kawalan.
“Selain itu, masalah kesihatan mental turut dikenal pasti sebagai faktor yang boleh menjejaskan kawalan emosi seseorang sehingga mendorong melakukan perbuatan tersebut,” ujarnya.
Beliau menegaskan, terdapat juga kes yang berlaku apabila individu memelihara terlalu banyak haiwan sehingga gagal mengurus kebajikan haiwan dengan baik.
“Keadaan ini akhirnya menyebabkan pengabaian seperti kekurangan makanan, tempat tinggal tidak sesuai serta penjagaan kesihatan yang tidak mencukupi. Apabila kebajikan haiwan tidak dijaga dengan baik, ia juga boleh dikategorikan sebagai penderaan,” katanya.
Hassuzana berkata, sebahagian individu tidak menyedari bahawa haiwan juga makhluk hidup yang mempunyai perasaan dan boleh mengalami penderitaan.
Tambahnya, berdasarkan rekod sistem MyAnimalWelfare, Jabatan Veterinar Selangor menerima sebanyak 4,940 aduan berkaitan kebajikan dan penderaan haiwan sepanjang tahun 2025.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 307 aduan didapati berasas manakala 327 aduan tidak berasas selepas siasatan dijalankan oleh pihak jabatan.
“Selain itu, sebanyak 68 kes melibatkan penganiayaan haiwan direkodkan, diikuti 328 kes berkaitan kebajikan haiwan serta 28 kes melibatkan gabungan kebajikan dan penganiayaan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, sebanyak tujuh kes penderaan haiwan di Selangor telah dibawa ke peringkat pendakwaan sepanjang tahun lalu.














