fbpx

Padah libas tangan bapa saudara dengan parang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Asyraf didakwa atas kesalahan itu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

KOTA BHARU – Perbuatan seorang pembantu juruelektrik yang bertindak melibas pergelangan tangan bapa saudaranya dengan parang sehingga hampir putus pada bulan lalu akhirnya menerima padah apabila dia didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Tertuduh, Mohamad Asyraf Rahimi, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan parah terhadap bapa saudaranya, Mohd. Nor Deraman,44, dengan menggunakan sebilah parang yang boleh menyebabkan kematian.

Kesalahan itu dilakukan olehnya di tepi jalan Kampung Membatu, Kok Lanas di sini kira-kira pukul 10.30 malam pada 21 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Faizuan Sulaiman manakala tertuduh diwakili peguam, Ilias Mohd. Nor.

Terdahulu, Mohd. Faizuan meminta supaya tiada sebarang jaminan ditawarkan ekoran khuatir tertuduh mengganggu saksi pendakwaan yang juga melibatkan ahli keluarganya.

Ilias dalam rayuannya memohon agar mahkamah menetapkan ikat jamin yang rendah kerana tertuduh yang bekerja sebagai pembantu juruelektrik perlu menanggung ibu dan bapanya.

“Anak guam saya juga masih belum berkahwin dan berjanji akan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan yang lain,” katanya.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan jaminan dan kes disebut semula pada 3 Mei depan.

Tertuduh akan ditempatkan di Penjara Pengkalan Chepa di sini sepanjang tempoh perbicaraan kes. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI