BANGKOK – Sebuah bot laju yang sedang dibaiki terbakar, menyebabkan lima pekerja cedera, manakala seorang lagi hilang, lapor akhbar The Sun UK.
Kepulan asap tebal hitam naik ke udara di Pulau Phuket, Thailand ketika api marak di atas bot laju bernama Tequila semalam.
Beberapa pekerja dilaporkan membaiki enjin bot apabila satu letupan berlaku.
Rakaman video kemalangan menunjukkan pekerja-pekerja kecemasan bergelut untuk mengawal api di lokasi kebakaran, Jeti Coco sekitar pukul 10.30 pagi (waktu tempatan).
Ketika beberapa pekerja terjun ke dalam air untuk membantu membuka ikatan bot dan menunda mereka yang berada di atas bot ke tempat selamat, seorang pemandu pelancong yang turut cuba membantu didapati hilang.
Lima kru cedera ringan dan dikejarkan ke hospital berdekatan.
“Pada peringkat ini, punca kebakaran dipercayai letupan di atas bot,” kata Pejabat Pentadbiran Bandar Phuket dalam satu kenyataan. – AGENSI














