fbpx
NIK ARIFF aktif bermain tenis sejak berusia lima tahun.

Disiplin tenis bantu Nik Ariff raih 9A SPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI kebanyakan pelajar, mencapai kecemerlangan dalam akademik sudah dianggap satu kejayaan besar.

Namun bagi Nik Ariff Asyraaf Nik Kamaruzaman, 18, mencapai kejayaan dalam pelajaran dan sukan pastinya lebih bermakna.

Hal ini kerana anak bongsu daripada dua beradik itu bukan sahaja giat mengejar cita-cita dalam arena tenis, malah membuktikan keupayaannya apabila meraih 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Menurut Nik Ariff, kejayaan tersebut hadir dengan rasa syukur dan lega selepas melalui pelbagai cabaran sepanjang tempoh pembelajaran.

“Saya amat bersyukur dan gembira atas pencapaian ini. Pada masa sama, saya lega kerana segala usaha akhirnya membuahkan hasil.

“Perjalanan menuju kejayaan bukanlah mudah. Rutin mengulang kaji pelajaran, berjaga malam serta berdepan tekanan peperiksaan dan jadual padat merupakan antara cabaran yang perlu ditempuhi.

“Namun, saya tidak menganggapnya sebagai beban, sebaliknya ia pelaburan untuk masa depan,” katanya.

Pelajar St. John’s Institution, Kuala Lumpur itu turut menegaskan bahawa kejayaan tersebut bukan hasil usaha sendiri semata-mata.

Katanya, sokongan berterusan daripada ibu bapa menjadi tulang belakang yang memastikan dia kekal bersemangat, manakala doa dan dorongan mereka memberi kekuatan untuk terus berusaha.

Selain itu, minat terhadap Matematik turut membentuk cara pemikiran Nik Ariff.

NIK ARIFF ketika menyertai kejohanan tenis di Hat Yai, Thailand pada tahun 2024.

Subjek tersebut mendorongnya berfikir secara kritis dan sistematik, sekali gus membantu menyelesaikan masalah dengan lebih berkesan.

Di sebalik kecemerlangan akademik, Nik Ariff aktif dalam sukan tenis.

Minatnya dalam tenis bermula seawal usia lima tahun, namun komitmen penuh diberikan apabila menyedari potensi dan minat mendalam sukan itu.

“Tenis bukan sekadar sukan, ia menguji kekuatan fizikal dan mental. Saya perlu berfikir pantas dan membuat keputusan segera untuk membalas setiap pukulan lawan. Ia memerlukan strategi dan fokus yang tinggi,” jelasnya.

Semasa kecil, Nik Ariff merupakan seorang yang hiperaktif dan sukar memberi tumpuan di dalam kelas.

Namun, penglibatannya dalam tenis banyak membantu mengatasi masalah tersebut.

Melalui latihan yang konsisten dan disiplin tinggi, dia mula belajar untuk lebih fokus, mengawal diri serta meningkatkan tahap konsentrasi.

Dalam menyeimbangkan akademik dan sukan, Nik Ariff menekankan kepentingan pengurusan masa secara efektif.

“Saya menyusun jadual harian dengan teratur agar kedua-dua aspek diberi perhatian.

“Pelajaran tetap menjadi keutamaan, namun saya konsisten meluangkan masa untuk latihan tenis,” katanya.

Tambahnya, rehat mencukupi juga penting bagi mengekalkan prestasi kerana keletihan boleh menjejaskan fokus dalam pelajaran dan sukan.

Walaupun berdepan tekanan untuk cemerlang dalam kedua-dua bidang, namun dia memilih untuk menghadapinya secara positif.

“Saya mengurus tekanan dengan perancangan masa yang baik serta memastikan diri sentiasa bersedia dari segi fizikal dan mental.

“Sukan membantu membentuk disiplin, meningkatkan fokus dan melatih kemahiran menyelesaikan masalah yang turut menyumbang kepada kecemerlangan akademik,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Nik Ariff berazam untuk terus cemerlang dalam akademik dan bercita-cita menjadi jurutera mekanikal.

Bagi bidang sukan pula, dia berharap dapat mengharumkan nama negara dalam sukan tenis pada suatu hari nanti.

“Untuk bidang akademik, saya bercita-cita menjadi seorang jurutera mekanikal. Saya merancang untuk sambung pelajaran di Universiti Teknologi Petronas atau universiti di luar negara.

“Dalam arena sukan, saya menyimpan hasrat untuk mengharumkan nama negara melalui tenis suatu hari nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN