LONDON – Bekas pemain Chelsea, Frank Lebouf mengakui bimbang dengan nasib yang bakal dialami Arsenal apabila berkemungkinan bakal menamatkan musim kali ini tanpa trofi sekali gus gagal menamatkan kemarau trofi.
Harapan awal untuk mengakhiri penantian kejuaraan sejak enam musim lalu tidak kesampaian apabila The Gunners tewas pada aksi final Piala Liga Inggeris selain terkandas di pusingan suku akhir Piala FA.
Lebouf percaya pengendali pasukan itu, Mikel Arteta perlu segera memberikan suntikan istimewa buat pasukannya untuk kembali segar bagi membolehkan mereka fokus untuk mengekalkan prestasi dan melakukan pecutan terakhir.
Hujung minggu ini menyaksikan Arsenal bakal melayan kunjungan Bournemouth di Emirates dan kemenangan bukanlah pilihan apabila mereka perlu mendapatkan tiga mata untuk membuktikan kekuatan mental mereka masih belum terusik.
“Arsenal mungkin pasukan terbaik di dunia ketika ini, namun mereka perlu membuktikannya biarpun dengan set pemain yang berbeza. Mereka tidak sepatutnya tewas kepada Southampton (aksi Piala FA), itu sangat memalukan.
“Saya teringat ketika bersama Chelsea dan menentang Arsenal yang dibarisi Patrick Vieira, Emmanuel Petit, Ian Wright dan Tony Adams. Saya fikir itu tidak mungkin berulang kerana kesemua mereka memiliki mentaliti yang sangat luar biasa.
“Skuad kali ini berbeza, mereka sangat rapuh, terlalu bergantung kepada perancangan pengurus dan tidak mampu membuat keputusan tepat. Ketika perjalanan semakin menghampiri penghujung musim, saya melihat mereka menjadi semakin goyah,” katanya.
Tambahnya, Arteta perlu menyuntik semangat dan kekuatan mental yang dilihat menjadi kelemahan ketara buat The Gunners dalam memburu impian besar mereka. – AGENSI














