KUALA LUMPUR – Suasana tenang pada Wacana Ilmiah Perdana di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bertukar kecoh apabila sekumpulan individu melakukan protes secara tiba-tiba petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu, dua lelaki dilihat mengangkat kertas mahjong yang tertera tulisan ‘Tangkap Azam Baki’ dan ‘Azam Baki Simbol Reformati’ ketika ucaptama sedang berlangsung.
Tindakan tersebut dilakukan ketika Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sedang menyampaikan ucapan pada program berkenaan.
Situasi menjadi semakin tegang apabila seorang lelaki berbaju-T hitam bertulis ‘Pusat Pembangunan Rakyat (Mandiri)’ dilihat bertikam lidah dengan pegawai bertugas.
Lelaki berkenaan mempersoalkan tindakan pegawai yang cuba menahannya selain enggan memberikan kerjasama.
“Apa bukti saya terlibat dengan dua orang tadi? Tangkap saya, buktikan saya bersalah. Apa kuasa awak untuk tahan saya?.
“Apa hak kamu nak periksa telefon saya,” katanya dalam keadaan tegang.
Difahamkan, kesemua individu terlibat kemudiannya ditahan dan dibawa keluar dari dewan oleh pihak bertugas bagi meredakan keadaan.
Insiden tersebut bagaimanapun berjaya dikawal 10 minit kemudian tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Program itu kemudian diteruskan seperti biasa selepas situasi kembali terkawal. – KOSMO! ONLINE














