NEW DELHI – Satu video tular di media sosial memaparkan kemeriahan sebuah keluarga di India apabila mereka menyewa keseluruhan sebuah gerabak kereta api untuk menghadiri majlis perkahwinan, lapor laman berita NDTV kelmarin.
Dalam video tersebut, seorang ahli keluarga mengikat kalungan bunga pada papan nama gerabak dan poster yang mengalu-alukan tetamu.
Anggota-anggota keluarga tersebut dilihat menari mengikut rentak lagu yang bertenaga, daripada kanak-kanak sehinggalah kepada datuk dan nenek mereka.
Gerabak itu dipenuhi dengan selimut dan kotak, berkemungkinan besar bertujuan untuk tradisi di mana saudara-mara sebelah ibu menyampaikan hadiah kepada keluarga pengantin perempuan.
Klip Video itu menjadi tular dengan rata-rata pengguna media sosial memuji cara unik keluarga tersebut meraikan semangat kekeluargaan.
Namun, sebilangan netizen membangkitkan kebimbangan tentang etika awam, dengan mempersoalkan sama ada sambutan dengan bunyi-bunyian yang begitu kuat wajar dilakukan meskipun keseluruhan gerabak telah ditempah. – AGENSI














