PETALING JAYA – Wajah-wajah ‘popular’ Global Sumud Flotilla (GSF) edisi lalu, Ardell Aryana, Haroqs, Heliza Helmi serta adiknya, Hazwani kembali bagi meneruskan misi kedua pada 12 April ini.
Keempat-empat mereka yang juga pelakon dan pempengaruh berlepas ke Barcelona, Sepanyol dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada malam tadi bagi menjayakan GSF 2.O.
Bagaimanapun, Yayasan Mawaddah memaklumkan, empat lagi identiti perserta lain masih dirahsiakan.
“Malam ini empat orang kami rahsiakan dan empat orang kami dedahkan.
“Ardell, Haroqs, Heliza dan Hazwani. Semoga Allah sampaikan kalian ke bumi Gaza,” maklum Yayasan Mawaddah di media sosial.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, pempengaruh serta penulis dalam bidang analisis geopolitik, Ahmad Faezal Mohd. Shariff menjadi calon pertama yang dipilih menyertai pelayaran tersebut bersama misi Sumud Nusantara menerusi kumpulan ketiga.
Misi tersebut turut mendapat perhatian apabila Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, diamanahkan mengetuai delegasi bantuan Malaysia, yang membawa 30 kontena mengandungi 374 tan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin.
GSF 2.0 merupakan gerakan antarabangsa tanpa kekerasan yang menghimpunkan delegasi pelbagai negara bagi mencabar kepungan ke atas Gaza, menghantar bantuan kemanusiaan dan mewujudkan koridor bantuan awam secara berterusan.
Menurut laman rasmi gerakan itu, misi musim bunga 2026 akan menghimpunkan lebih 80 bot dan lebih 1,000 peserta dari seluruh dunia, dengan pelayaran utama dari Barcelona pada 12 April. – KOSMO! ONLINE














