fbpx
Antara sajian kampung yang menarik untuk dinikmati pengunjung.

Menjejak rasa kampung di Kopi O Kampong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Bermula daripada secerek kopi panas di lereng Gunung Jerai, Kedah tercetusnya sebuah kafe berkonsep tradisi yang kini semakin mendapat tempat di hati penggemar suasana kampung.

Kafe Kopi O Kampong yang diasaskan oleh Allahyarham Ruslin Long pada 1 Januari 2023, bukan sekadar kedai kopi tetapi sebuah ruang yang menghidupkan nostalgia dan warisan lama dalam suasana santai.

Menurut pengurusnya yang juga merupakan salah seorang anak arwah Ruslin iaitu Rusli Anas, idea untuk membuka kafe itu berakar daripada minat mendalam arwah bapanya terhadap aktiviti solo camping.

Katanya, Allahyarham sering ke Gunung Jerai dengan Ford Ranger yang diubah suai menjadi camper van dan menyediakan kopi o kampung menggunakan arang setiap pagi.

“Setiap kali di sana, pendaki dan pengunjung akan singgah, bertegur sapa dan ayah saya akan hidangkan kopi panas bersama biskut kering,” katanya menggambarkan suasana mesra yang tercipta secara spontan.

Tambahnya, rutin tersebut berlanjutan hampir setiap minggu selama enam bulan sebelum tercetusnya idea untuk membuka Kopi O Kampong di Alor Setar.

Mengulas konsep kampung yang menjadi identiti utama, Rusli Anas berkata ia selari dengan minat arwah terhadap barangan klasik.

Di kafe itu, pengunjung dapat melihat pelbagai koleksi seperti mesin taip, mesin jahit, seterika arang, penumbuk padi dan alat ketam.

“Konsep klasik ini memang sesuai dengan tema tradisional yang kami bawa,” ujarnya.

Menu kopi disediakan dengan memasak kopi atas arang daripada kayu hutan.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai menu tradisi yang membangkitkan selera.

Dari segi hidangan, kopi o kampung panas kekal sebagai tarikan utama.

Jelas Rusli Anas, ia disediakan dengan memasak kopi atas arang daripada kayu hutan yang memberikan rasa yang tersendiri.

“Selain itu, juadah peknga cicah gulai ikan serta roti bengali bakar sapu kaya turut kami tawarkan.

“Namun, nasi lemak ayam menjadi pilihan paling popular dalam kalangan pelanggan. Memang orang Kedah suka makan nasi lemak waktu pagi,” katanya.

Kopi O Kampong juga menawarkan pelbagai hidangan lain seperti ubi kayu rebus, pulut ikan masin, kuih-muih serta pulut kuning rendang ayam pada hujung minggu.

Berkongsi mengenai resipi, Rusli Anas menjelaskan bahawa peknga gulai ikan merupakan resipi orang lama yang menggunakan kelapa parut segar untuk menghasilkan tekstur lembut dan rangup.

Sementara itu, mi kari dan lontong pula diwarisi daripada resipi bonda Siti Khadijah, isteri kepada pengasas.

Lebih daripada sekadar tempat menjamu selera, kafe ini turut mengetengahkan pengalaman suasana melalui alunan muzik klasik.

“Kami dendangkan lagu dari zaman pop yeh yeh 50-an hingga 90-an, semua ini menggamit kenangan,” katanya.

Jelasnya lagi, tema kampung akan sentiasa relevan kerana dekat dengan identiti dan memori masyarakat di negara ini.

Dengan harga bermula RM5 untuk kopi signatur dan RM10 untuk nasi lemak istimewa, Kopi O Kampong kekal mesra pelanggan.

Kini, legasi Allahyarham diteruskan oleh anak-anaknya, dengan Rusli Anas sebagai pengurus, dibantu Rusila untuk operasi kedai, abangnya Rusli untuk penyelenggaraan, Rusli Bashir bahagian akaun serta Ruslina dalam aspek media dan pemasaran.

Adik-beradik itu merancang membuka cawangan Kopi O Kampong di sekitar Kedah.

Kopi O Kampong dibuka setiap hari bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN