DALAM kesibukan kehidupan kota yang semakin mencabar, percutian singkat bersama keluarga kini menjadi satu keperluan untuk mengembalikan keseimbangan emosi dan mencipta kenangan bermakna.
Warga kota tidak perlu ke destinasi jauh kerana Selangor kini menawarkan satu lagi tarikan baharu yang sesuai untuk semua peringkat usia iaitu Monkey Splash Zone, taman tema air ‘indoor’ pertama di Malaysia yang terletak di Monkey Canopy, Kajang.
Dibuka secara rasmi pada 10 Januari tahun lalu, Monkey Splash Zone tampil sebagai destinasi percutian mesra keluarga yang menggabungkan elemen keseronokan dan keselamatan dalam satu ruang tertutup.
Dengan konsep indoor, pengunjung tidak lagi perlu risau tentang cuaca panas terik atau hujan sekali gus menjadikannya pilihan ideal untuk aktiviti hujung minggu atau cuti sekolah.
Antara tarikan utama yang menjadi tumpuan ialah gelongsor Wave Pool dan Twin Twister. Wave Pool menawarkan pengalaman ombak buatan yang mengasyikkan seolah-olah berada di pantai sebenar, manakala Twin Twister pula menjanjikan keseronokan berganda dengan luncuran berpusing yang mencabar adrenalin.
Menurut seorang kakitangan taman tema tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Rozi, sambutan daripada pengunjung sejak hari pembukaan amat menggalakkan.
“Monkey Splash Zone ini menarik kerana ia direka khas untuk semua lapisan umur.
“Kami mahu seisi keluarga datang dan luangkan masa berkualiti bersama-sama dalam suasana yang selamat dan menyeronokkan,” katanya kepada CitaRasa.

Tambah Rozi, aspek keselamatan menjadi keutamaan pihak pengurusan.
“Kami memastikan setiap permainan mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan seperti mematuhi had ketinggian yang ditetapkan taman tema,” katanya.
Berkongsi tentang harga, Monkey Splash Zone menawarkan kadar tiket yang berpatutan. Tiket dewasa dijual pada harga RM65, manakala tiket kanak-kanak pula berharga RM45.
Harga itu dilihat berbaloi dengan pengalaman ditawarkan, terutama bagi keluarga yang ingin menikmati aktiviti santai tanpa perlu berbelanja besar.
Selain gelongsor dan kolam ombak, suasana ceria dengan reka bentuk berwarna-warni turut menambahkan lagi daya tarikan taman tema itu.
Kanak-kanak pasti teruja dengan pelbagai permainan air interaktif, manakala ibu bapa boleh berehat sambil memantau anak-anak dalam persekitaran yang terkawal.
Monkey Splash Zone bukan sekadar taman tema air, tetapi sebuah destinasi yang menggalakkan interaksi kekeluargaan dan gaya hidup aktif.
Dalam dunia yang semakin sibuk dengan teknologi dan komitmen harian, ruang seperti itu menjadi tempat untuk ‘disconnect’ seketika dan memberi tumpuan kepada insan tersayang.
Ujar Rozi, buat mereka yang sedang mencari lokasi percutian ringkas tetapi menyeronokkan, Monkey Splash Zone di Kajang sememangnya wajar dimasukkan dalam senarai.
Ia bukan sahaja menawarkan hiburan, malah mencipta pengalaman yang sukar dilupakan bersama keluarga.
Monkey Splash Zone dibuka setiap Selasa hingga Ahad dari pukul 10 pagi hingga 8 malam.















