fbpx
MITSUBISHI Triton VGT kini ditawarkan dengan harga lebih murah dibanding dengan harga pasaran yang sepatutnya.

‘Triton laku RM12,000 saja, lebih baik simpan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pemilik trak pikap kini semakin tersepit berikutan harga kenderaan diesel tersebut jatuh teruk dan kedai serta premis hanya mahu membeli dengan harga yang sangat murah.

Dalam keadaan harga diesel mencecah RM6.02 seliter, pemilik trak pikap kini mengambil pendekatan menangguhkan penjualan aset masing-masing bagi mengelakkan kerugian besar.

Seorang pengusaha perkhidmatan transporter, Nik Muhammad Koidin Nik Mustafa, 42, berkata, dia memilih untuk tidak menjual kenderaannya ketika ini kerana harga pasaran yang terlalu rendah dan tidak berbaloi.

Dia yang memiliki tiga buah trak pikap jenama Mitsubishi berpendapat, penjualan dalam situasi semasa hanya akan menyebabkan kerugian ketara.

“Buat masa ini saya memang tidak akan jual. Kalau jual sekarang memang rugi besar sebab harga jatuh teruk. Saya lebih sanggup simpan dulu kenderaan ini dan tunggu keadaan kembali stabil.

“Saya pernah tanya sebuah kedai di Besut, Terengganu untuk jual Triton VGT saya, tetapi ditawarkan sekitar RM12,000 sahaja, kalau tidak harga lebih RM18,000,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Katanya, antara faktor utama dia enggan menjual adalah harga daripada pengusaha kereta terpakai yang dianggap terlalu rendah dan tidak munasabah.

“Memang saya tidak sanggup lepaskan pada harga begitu. Terlalu rugi, jadi lebih baik simpan dan tunggu masa sesuai,” katanya.

Jelasnya, situasi sama turut dihadapi rakan-rakan dalam industri transporter yang kebanyakannya menangguhkan untuk menjual kenderaan mereka.

“Ramai rakan saya ambil langkah sama. Mereka tidak mahu jual sebab harga sekarang terlalu rendah dan boleh menyebabkan kerugian besar,” katanya.

Ujarnya, ketidaktentuan geopolitik global termasuk konflik Asia Barat memberi kesan besar kepadanya sekali gus menjejaskan operasi perniagaan yang ­telah diusahakan sejak lima tahun lalu.

“Kalau ikutkan keadaan sekarang, kerja transporter memang agak perlahan. Tetapi saya yakin situasi ini tidak akan berlarutan terlalu lama dan mungkin pulih dalam tahun ini juga,” ujarnya.

Kosmo! semalam melaporkan, jualan kenderaan diesel seperti pikap dan van merudum sejak awal tahun ini susulan lonjakan harga bahan api itu yang kini mencecah RM6.02 seliter. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN