KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) mempergiat usaha memperkukuh keselamatan sempadan negara menerusi kerja naik taraf pos kawalan serta penggunaan pelbagai aset moden di kawasan operasi.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman berkata, semua pos sempadan negara sedang dinaik taraf bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan anggota dalam menghadapi ancaman keselamatan.
Menurut beliau, kawasan operasi di sepanjang sempadan turut dilengkapi pelbagai aset moden seperti dron, motosikal scrambler, kenderaan semua bentuk muka bumi (ATV) serta peralatan optronik bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan dan operasi.
“Langkah ini penting bagi memastikan TDM sentiasa bersedia mengawal keselamatan sempadan negara selain memperkukuh keupayaan operasi di kawasan strategik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Perbarisan Hari Tentera Darat ke-93 di Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Azhan berkata, TDM juga sedang melaksanakan transformasi bagi memastikan pasukan itu kekal relevan dan bersedia menghadapi ancaman keselamatan masa depan.
Katanya, ancaman tersebut termasuk peperangan hibrid, konflik pelbagai domain serta ketidaktentuan geopolitik serantau.
“Seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan dan Strategi Ketenteraan Negara, struktur serta postur Tentera Darat sedang diselaraskan bagi memenuhi keperluan pasukan darat masa depan,” ujarnya.
Azhan berkata, tema Hari Tentera Darat tahun ini iaitu ‘Kemahuan Untuk Menang: Pemangkin Keperkasaan Tentera Darat’ mencerminkan usaha untuk membina pasukan yang lebih tangkas, kredibel dan bersedia menghadapi peperangan serta ancaman moden.
Tambahnya, di peringkat antarabangsa, TDM akan terus memperkukuh kerjasama serantau dan global melalui penyertaan dalam latihan dua hala serta pelbagai hala bagi meningkatkan interoperabiliti dan hubungan diplomasi ketenteraan. – KOSMO! ONLINE














